Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tujuh Pegawai KDN Ditukar Atas Pelbagai Kesalahan Sejak 2013 – TPM

Tujuh Pegawai KDN Ditukar Atas Pelbagai Kesalahan Sejak 2013 – TPM

Tujuh pegawai Gred 54 ke bawah yang memegang jawatan sensitif di Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah ditukar sejak 2013 atas pelbagai kesalahan termasuk masalah disiplin dan salah guna kuasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mereka yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Pekeliling Perkhidmatan Awam itu ditukar secara dalaman atau dipindahkan ke jabatan lain.

“Tetapi kita tidak hebahkan kerana tindakan yang dilakukan adalah melibatkan individu berkenaan atau organisasi sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Mengulas keputusan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk menukar 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif (kewangan, kontrak dan perolehan) secara dalaman atau ke kementerian lain, Ahmad Zahid berkata KDN menyambut baik keputusan itu.

Katanya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mempunyai kuasa untuk membuat pertukaran dalaman bagi pegawai gred M54 dan ke bawah, manakala bagi jawatan utama sektor awam (Jusa), kementerian akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membuat pertukaran jika terdapat kesalahan yang dilakukan.

Pada perhimpunan tersebut, KDN menerima pengiktirafan lima bintang bagi prestasi tahun 2015 daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu).

Ahmad Zahid berkata KDN juga telah berjaya melebihi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 25 peratus yang ditetapkan bagi suku pertama tahun ini.

Antaranya kelulusan Pas Penggajian dalam tempoh lima hari bekerja yang mencapai sasaran 120 peratus; pendaftaran lewat kelahiran dalam tempoh lima hari bekerja bagi kanak-kanak bawah satu tahun yang dilahirkan di hospital berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (99 peratus); dan operasi mengesan dan menahan orang yang disyaki penagih dadah (27 peratus).

Selain itu, pelaksanaan sistem pemeriksaan penumpang dikenali Advance Passenger Screening System (APSS) (35 peratus); pelaksanaan fasa satu Sistem Kawalan Imigresen Nasional (40 peratus); tindakan penguatkuasaan dalam tempoh tujuh hari terhadap semua aduan lengkap (116 peratus); dan laporan kehilangan pasport Malaysia Antarabangsa daripada sistem Jabatan Imigresen dalam tempoh 24 jam (100 peratus).

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyampaikan pemakaian pangkat kehormat kepada dua timbalannya Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya RELA (Kehormat).

Leave a Reply

Top