Anda di sini!
Utama > Sukan > TRW Perlu Kekalkan Momentum

TRW Perlu Kekalkan Momentum

KOTA BHARU, Kemenangan 3-1 ke atas PKNS di tempat lawan baru-baru ini akan dijadikan perangsang untuk Kelantan memburu kejayaan apabila berdepan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Sabtu ini.

Pertahanan Kelantan, Mohd Qayyum Marjoni Sabil berkata beliau bersama rakan sepasukannya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan tersebut bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) sekali lagi mencipta kemenangan di tempat lawan.

“Felda United adalah sebuah pasukan berkualiti dalam saingan Liga Malaysia dan sukar ditewaskan terutama ketika mereka bermain di tempat sendiri,” katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata barisan pertahanan TRW bertekad untuk mempertahankan pintu gol mereka habis-habisan daripada dibolosi penyerang Felda United.

Perlawanan menentang Felda United itu merupakan aksi kedua di tempat lawan bagi Kelantan selepas dua perlawanan sebelum ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini, ditunda.

Mohd Qayyum berkata beliau bersama rakan sepasukannya kini bersemangat menjalani latihan bagi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan tersebut.

“Saya lihat persefahaman antara pemain import dan tempatan juga ada peningkatan, kami sering berkomunikasi antara satu sama lain.

“Semua pemain juga dilihat sudah bersedia bagi menghadapi perlawanan berkenaan terutama untuk bermain di hadapan ribuan penyokong tuan rumah,” katanya.

Kelantan kini berada di tangga kelapan Liga Super dengan tiga mata selepas mengharungi satu perlawanan, manakala Felda United di kedudukan keenam dengan empat mata selepas menang sekali dan seri sekali daripada tiga perlawanan.

Leave a Reply

Top