Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka tidak akan ‘menghidupkan’ semula perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) oleh pendahulunya dalam apa juga bentuk.

Memetik laporan Reuters, seorang penasihat dasar peralihan Trump berkata, Trump sebaliknya akan meneruskan perjanjian perdagangan dua hala.

“TPP telah berkubur, saya tak boleh tegaskannya lebih lanjut daripada itu.

“TPP atau perjanjian pelbagai hala yang kelihatan sepertinya namun dengan nama lain, sesungguhnya telah berkubur,” kata penasihat yang enggan namanya didedahkan itu.

Trump akan mengambil alih kuasa pentadbiran Amerika Syarikat bermula 20 Januari ini bagi menggantikan Barack Obama.

Penasihat itu turut dilaporkan berkata, pentadbiran Trump tidak akan meneruskan perjanjian perdagangan pelbagai hala.

“Anda akan terkejut dengan betapa cepatnya perjanjian dua hala mula menjadi kenyataan,” katanya.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang maklum balas daripada jurucakap rasmi bagi pasukan peralihan Trump berhubung perkara itu.

TPP dianggotai 12 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam, New Zealand, Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Chile, Peru dan Mexico.

Daripada 12 anggota TPP, Malaysia tidak mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Perjanjian itu memerlukan pengesahan sekurang-kurangnya enam negara atau  85 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 12 negara, untuk menguatkuasakannya.

KDNK Amerika Syarikat sahaja menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah KDNK anggota TPP.

Oleh itu, TPP tidak akan menjadi kenyataan tanpa Amerika Syarikat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *