Anda di sini!
Utama > Nasional > TPM Tiba Untuk Lawatan Kerja Di AS

TPM Tiba Untuk Lawatan Kerja Di AS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini Selasa untuk lawatan kerja seminggu termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear.

Sidang kemuncak dua hari itu akan bermula Khamis ini di Pusat Konvensyen Walter E. Washington.

Ahmad Zahid dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles kira-kira pukul 8.40 pagi (waktu tempatan) dengan penerbangan komersial.

Ketibaannya disambut Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan isteri Datin Latifah Mohd Yusof.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau turut bersama Timbalan Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu yang akan menumpukan kepada langkah melindungi plutonium dan uranium gred senjata bagi menangani keganasan nuklear.

Semasa di sini, Ahmad Zahid turut dijangka menemui beberapa pegawai kanan Amerika Syarikat termasuk Penasihat Keselamatan Negara, Susan Elizabeth Rice untuk membincangkan isu bagi meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara terutama hal ehwal perisikan dan keselamatan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri akan turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) John Brennan; Timbalan Setiausaha Negara, Anthony J Blinken; Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negara, Alejandro Mayorkas; dan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Daniel Russel, sebelum sidang kemuncak itu.

Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis makan malam bersama ketua-ketua industri serta ‘Rakan Malaysia’ daripada sektor awam dan swasta untuk bertukar pandangan mengenai cara meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Selain itu, Ahmad Zahid juga akan berkongsi pengalaman Malaysia pada satu ceramah bertajuk “Cabaran ekstremisme dan keganasan termasuk pendekatan deradikalisasi di Malaysia” dalam sesi bersama pensyarah dan pelajar dari universiti-universiti Amerika pada Sabtu.

Leave a Reply

Top