Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TPM Seru Masyarakat Islam Tolak Fitnah, Perpecahan Dalaman

TPM Seru Masyarakat Islam Tolak Fitnah, Perpecahan Dalaman

mh online

Orang Melayu beragama Islam perlu menolak fitnah dan perpecahan dari dalam bagi membolehkan bangsa itu membina kekuatan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

image

Beliau berkata Melayu Islam perlu mengambil pengajaran daripada kejatuhan empayar Islam dan empayar Melayu sebelum ini, disebabkan fitnah dan perpecahan dari dalam bangsa itu sendiri.

“Dua faktor inilah yang menjadi kejatuhan Melayu Islam. Bangsa ini kalau diserang dari luar akan kukuh bersatu, tetapi mudah benar berpecah sekiranya diserang dari dalam.

image

“Dalam dunia tanpa sempadan ini, mudah benar fitnah disebar. Justeru Melayu moden perlu tolak fitnah, tolak perpecahan dari dalam,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Sukan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di sini, Jumaat malam.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Festival sukan selama empat hari bermula hari ini, mempertandingkan lima jenis sukan – silat, sepak takraw, gasing, badminton dan boling, dengan menawarkan 44 pingat emas.

image

Seramai 866 atlet dari enam negara – Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Sri Lanka dan Malaysia, menyertai festival sukan itu, yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan beberapa tempat sekitar Ayer Keroh.

Berucap di Dewan Besar UTeM di sini, Ahmad Zahid berkata Melayu Islam mudah dipengaruhi apabila fitnah menguasai media sosial, dalam dunia tanpa sempadan kini.

Beliau berkata apabila fitnah oleh media sosial itu menguasai dan mengatasi media konvensional, Melayu Islam akan dipengaruhi seterusnya boleh merosakkan tanpa mereka sedari.

“Justeru jangan mudah melayan fitnah, melayan perpecahan,” katanya.

Beliau, bagaimanapun menegaskan usaha Melayu Islam membina kekuatan itu bukan bermakna bangsa itu rasis atau mahu mengetepikan bangsa lain.

“Kita cuma mahu menyatukan kira-kira 300 juta Melayu di seluruh dunia, mengembalikan kekuatan kita yang berpusat di Nusantara, bukan kita rasis. Kita bina kekuatan untuk masa depan terutama untuk anak cucu kita,” katanya.

Leave a Reply

Top