Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlepas pulang ke tanah air, Isnin, selepas menamatkan lawatan kerja seminggu ke Washington DC termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear (NSS) di sini.

Timbalan perdana menteri dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis berlepas dari Lapangan Terbang Dulles di sini dengan penerbangan komersial pada jam 11.35 pagi waktu tempatan (11.35 malam waktu Malaysia).

Hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada timbalan perdana menteri ialah Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan isteri, Datin Latifah Mohd Yusof.

Sempena lawatan itu, Ahmad Zahid juga menghadiri majlis jamuan malam dihoskan oleh Presiden Barack Obama di White House sempena persidangan NSS bertema ‘Menilai Ancaman’ yang dihadiri oleh ketua-ketua delegasi daripada 53 negara.

Di luar persidangan itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai kanan Amerika Syarikat termasuk Penasihat Keselamatan Negara, Susan Rice.

Pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu yang boleh meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara khusus mengenai perisikan, hal ehwal semasa dan keselamatan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Alejandro Mayorkas, berhubung penyertaan Malaysia dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat.

Selain itu, Sabtu lepas, beliau turut mengadakan sesi perbualan bersama pelajar Universiti Sekolah Perkhidmatan Antarabangsa dengan menyentuh pendekatan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekstremisme, keganasan dan deradikalisasi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *