Anda di sini!
Utama > Nasional > TPM Mulakan Lawatan Ke China Esok

TPM Mulakan Lawatan Ke China Esok

mh online

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan lawatan kerja ke China mulai esok hingga 4 Feb.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata ini merupakan lawatan kerja pertama Ahmad Zahid ke negara itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

image

Beliau dijadual melakukan kunjungan hormat terhadap para pemimpin China serta mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Pusat Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China Meng Jiangzhu dan Menteri Keselamatan Awam Gou Shengkun.

Lawatan ini bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara, terutama dalam bidang keselamatan, memerangi keganasan dan hal ehwal imigresen, kata kenyataan itu.

Ahmad Zahid akan diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan para pegawai kanan Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.

Malaysia dan China menjalin hubungan dan kerjasama rapat dalam bidang penting seperti politik, ekonomi dan perdagangan, pertahanan dan keselamatan.

Kenyataan itu berkata China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009.

Malaysia merupakan rakan perdagangan kelapan terbesar dunia bagi China dan rakan perdagangan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, manakala China adalah sumber import terbesar dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga November 2015, jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat 12.0 peratus kepada US$54.38 bilion (RM210.63 bilion), berbanding tempoh sama pada 2014.

Jumlah eksport pula meningkat 11.6 peratus kepada US$24.02 bilion (RM93.17 bilion), manakala import meningkat 12.3 peratus kepada US$30.36 bilion (RM117.46 bilion) bagi tempoh sama.

Leave a Reply

Top