Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan agar pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang baharu di sini selepas tertangguh selama 576 hari dipercepatkan segera.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan serius dalam memastikan pembinaan kompleks itu dipercepatkan agar segala permasalahan di kompleks yang lama dapat diatasi sejajar dengan Dasar Logistik Negara.

“Ini bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Dasar Logistik Negara untuk mempertingkatkan peranan Malaysia dalam sistem logistik bagi  negara-negara ASEAN khususnya Segi Tiga Pertumbuhan Ekonomi Indonesia Malaysia-Thailand (IMT-GT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan secara bersepadu ICQS di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Ahmad Zahid berkata, kompleks sedia ada ketika ini tidak dapat menampung pergerakan keluar masuk kenderaan perdagangan dan penumpang sehingga mengakibatkan kesesakan sejauh empat kilometer ketika waktu puncak.

Kini fasa pertama pelaksanaan pembinaan kompleks baharu itu pada tahap 45.9 peratus dan Ahmad Zahid mahu ia disiapkan selewat-lewatnya Ogos ini.

“Sepanjang Ogos, beberapa ujian akan dilaksanakan ke atas laluan yang digunakan khususnya untuk barangan yang dibawa masuk ke Malaysia.

“Setelah itu, kita akan laksanakan fasa kedua dan projek ini akan siap pada 31 Disember 2018 dan diharap pada 2019 kita akan dapat menterjemahkan keseluruhan dasar ini,” katanya dan menambah, projek yang dilaksanakan di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) itu menelan belanja RM425 juta.

Katanya apabila kompleks baharu itu siap sepenuhnya kelak, kerajaan bakal mengutip cukai barangan dagangan yang lebih tinggi berbanding RM600 juta setahun yang dicatatkan sekarang.

“Malah kerajaan turut berharap kemasukan pelancong yang lebih tinggi memandangkan ketika ini jumlah keluar masuk pelancong merekodkan seramai 3 juta setahun,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *