Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TPM Lancar Manual SOP Rela Sabtu Ini

TPM Lancar Manual SOP Rela Sabtu Ini

mh online

SIBU,Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melancarkan manual prosedur operasi standard (SOP) pengurusan pengoperasian kawalan keselamatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabtu ini.

Pelancaran itu akan diadakan semasa majlis sambutan Hari RELA Ke-44 Peringkat Kebangsaan di Dataran Bandar Sibu Fasa 2, kata Ketua Pengarah RELA Datuk Kamariah Mohd Noah pada sidang media di sini hari ini.

“Ini satu perkara baharu bagi kita supaya sebarang penugasan kawalan keselamatan, Rela akan tentukan jumlah anggota yang bertugas, bukan jabatan atau syarikat yang memohon penugasan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, RELA tidak dapat berkompromi dalam soal menjaga keselamatan dan harus mengikut SOP tersebut dengan jumlah anggota dalam satu-satu penugasan kawalan keselamatan dibuat berdasarkan keluasan kawasan penugasan itu.

Selain itu, katanya, SOP itu juga mengehadkan umur anggota yang ditugaskan untuk kawalan keselamatan kepada 50 tahun ke bawah sahaja kerana sungguhpun terdapat anggota yang berusia sehingga 60 tahun, tugas itu tidak sesuai bagi mereka berikutan faktor kecergasan.

Bagaimanapun, Kamariah berkata anggota yang berusia 50 tahun ke atas dibenarkan untuk penugasan lain seperti gotong-royong.

Katanya jumlah keanggotaan RELA seramai lebih kurang 3.049 juta di seluruh negara akan dikurangkan berikutan proses pemutihan anggota lama, selari dengan penyaringan pendaftaran anggota baharu yang bermula pada tahun ini.

Beliau berkata semakan akan dibuat dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi memastikan antara lainnya mereka yang memohon menjadi anggota baharu dan anggota lama adalah warganegara, bebas daripada dadah dan tidak pernah disabit kesalahan jenayah.

RELA mahukan anggotanya berkualiti selari dengan transformasi yang dijalankannya dan jumlah keanggotaan yang ramai tidak lagi menjadi keutamaan, katanya.

Sambutan kali kedua berturut-turut di Sarawak itu selepas sambutan di Batu Kawa, Kuching tahun lepas dijangka turut dihadiri Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Leave a Reply

Top