Anda di sini!
Utama > Terkini > TPM Ketuai Senarai Penerima Darjah Diraja Perak

TPM Ketuai Senarai Penerima Darjah Diraja Perak

mh online

image

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai senarai 702 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah, yang pertama kali disambut selepas pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV.

Ahmad Zahid adalah penerima pertama Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini, berkata SPSN diperkenal buat pertama kali pada tahun ini.

Beliau berkata Sultan Perak juga berkenan memberi anugerah secara Anumerta kepada enam penerima. Anugerah itu diberikan kepada seseorang yang telah meninggal dunia.

Mereka ialah Datuk Sir Onn Jaafar dan Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM); Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Aminuddin Baki (Darjah Seri Paduka Mahkota Perak – SPMP); Tan Sri Koo Chong Kong (Darjah Seri Panglima Taming Sari – SPTS) dan Kevin Anthony Morais (Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak – DPMP).

Onn adalah pengerusi pertama UMNO; Abdul Wahab merupakan pengasas Perikatan Melayu Perak serta bekas Menteri Besar Perak; Burhanuddin ialah pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Aminuddin ialah pengasas Persatuan Pelajar Melayu Insaf di Ipoh; Khoo adalah bekas Ketua Polis Perak manakala Kevin Morais merupakan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin adalah antara lima penerima SPMP yang membawa gelaran Datuk Seri.

Penerima lain ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Arsyad Ayub, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Ranjit Singh.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor pula dianugerah SPTS yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya pula antara tiga penerima darjah kebesaran Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Dua lagi penerima ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Rohana Abdul Malek dan Orang Besar Jajahan Larut Matang & Selama Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali.

Penceramah bebas Datuk Mohd Kazim Elias, Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali serta Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madis adalah antara 21 penerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak Goh Kok Liang merupakan antara lima penerima DPTS yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Enam atlet yang mengharumkan nama negara turut dianugerah darjah kebesaran iaitu pemain badminton Lee Wan Wah (Ahli Mahkota Perak), pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (Pingat Pekerti Terpilih – PPT), atlet wushu Chin Kin Thong (PPT), Nordin Yahya – golf (PPT), Muhammad Rezaki Shoib – perahu layar paralimpik (PPT) dan Hairol Fozi Saaba – badminton paralimpik (Pingat Jasa Kebaktian – PJK).

Empat petugas di pelbagai agensi media turut menerima darjah kebesaran iaitu Pengurus Kanan Portal dan Pemasaran Foto Bernama Maznah Khalil dan Ketua Biro akhbar The Star Ivan Loh Hao Wen, yang menerima AMP, manakala Nurul Fariha Onn (TV3) dan Foong Ching Mean dari Sin Chew Daily dianugerah PPT.

Sejumlah dua orang dianugerah SPCM, lima menerima SPMP, dua penerima SPTS, tiga DPCM, 21 dianugerah DPMP dan lima menerima DPTS.

Sebanyak 15 orang menerima darjah kebesaran Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), 41 dianugerah darjah kebesaran Paduka Mahkota Perak (PMP), 14 menerima Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 170 (AMP), 214 (PPT), 205 (PJK) dan empat menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Abdul Puhat berkata istiadat penganugerahan darjah kebesaran berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 27 Nov dan akan disambung pada 12 Dis serta 19 Dis.

Beliau berkata upacara itu dimulakan dengan Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia diikuti Istiadat Penyembahan Kembali Baur dan Istiadat Menjunjung Duli.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top