Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TPM Janji Realisasi Akujanji Adenan

TPM Janji Realisasi Akujanji Adenan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan membantu merealisasikan akujanji yang dibuat kerajaan negeri semasa dipimpin Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sarawak memberikan sokongan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Sarawak, yang baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg seperti mana diberikan kepada Adenan.

“Saya harap jasa-jasa beliau dalam pembangunan Sarawak khususnya dalam menterjemah semua akujanji dalam pilihan raya negeri yang lalu akan dapat kita penuhi terutamanya oleh Datuk Amar Abang Johari.

“Saya akan membantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untukĀ  merealisasikan semua akujanji terutama sekali melibatkan peruntukan yang disalurkan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi pusara Adenan di tanah perkuburan Islam Samariang di Petra Jaya dekat Kuching hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam dan turut sama membaca tahlil yang dipimpin pemangku Imam Besar Negeri Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Ahmad Zahid juga berkata beliau mahu sokongan serta dokongan diberikan kepada Abang Johari untuk memimpin bagi membangunkan Sarawak.

“Kita memberikan dokongan kepada Abang Johari sebagaimana dokongan yang diberikan kepada Allahyarham.

“Dan kita ketepikan perbedaan antara kita, kita perlu bergerak ke hadapan, kita perlu bekerjasama bagi membangunkan Sarawak, bukan sahaja di kalangan anggota parti komponen Barisan Nasional di Sarawak. Saya menggesa semua parti selain BN untuk bekerjasama bagi membangunkan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau hanya dapat menziarahi pusara Allahyarham pada hari ini kerana sewaktu Adenan meninggal dunia, beliau melakukan lawatan kerja ke China.

“Namun, saya telah dapat bercakap dengan Puan Sri Jamilah Anu untuk memberikan ucapan takziah saya dan keluarga kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Sebaik selesai bacaan tahlil, Ahmad Zahid menabur bunga serta menjirus air

mawar di pusara Adenan sebelum bergerak ke Damai Jaya di Santubong untuk solat Maghrib, majlis tahlil serta solat Isyak.

Leave a Reply

Top