Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > TPM Harap Harap Parti Lawan Hormati Komitmen Tidak Tandingi Tanjong Datu

TPM Harap Harap Parti Lawan Hormati Komitmen Tidak Tandingi Tanjong Datu

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap parti-parti politik yang telah mengumumkan komitmen untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Datu akan menghormati keputusan mereka itu.

Katanya dengan berbuat demikian, mereka memberi peluang kepada balu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, calon Barisan Nasional untuk PRK itu, meneruskan kerja-kerja cemerlang yang dilakukan oleh bekas Ketua Menteri berkenaan sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan negeri dan Komuniti Cina Kuching Selatan, di sini hari ini.

“Umum mengetahui sebanyak 14 kertas pencalonan telah diambil. Anda boleh ambil kertas (pencalonan) itu tapi jangan kemukakannya di pusat penamaan calon esok.

“Namun pada masa sama kami tidak menghalang mana-mana pihak termasuk (calon) bebas jika mereka ingin bertanding kerana kita negara demokratik,” katanya.

Dalam tempoh beberapa hari lalu, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara peringkat Sarawak mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak akan bertanding pada PRK itu kerana mahu menumpukan kepada pilihan raya umum ke-14 selain sebagai penghormatan kepada Allahyarham Adenan.

Ahmad Zahid berkata jika Jamilah dibenarkan menang tanpa bertanding, ini bermakna kawasan Lundu dan penduduknya akan menikmati lebih banyak pembangunan dan kemakmuran.

Mengulas isu lain, beliau memuji peralihan kuasa yang berjalan lancar di negeri ini susulan kematian Adena pada 11 Jan lalu, dengan Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengambil alih jawatan ketua menteri.

“Ini menunjukkan kualiti kepimpinan yang hebat di negeri ini, iaitu suatu yang sangat berbeza dan unik.

“Rakyat Sarawak sangat bertuah. Sekalipun berbeza agama, pandangan dan pendekatan dalam berfikir, mereka bersatu sebagai ‘1 Sarawak’,” katanya.

Malah kata Ahmad Zahid, indeks perpaduan rakyat Sarawak adalah yang tertinggi di negara ini.

Leave a Reply

Top