Anda di sini!
Utama > Terkini > TPM CABAR KARYAWAN HASILKAN KARYA BERMUTU UNTUK MENANGI HADIAH NOBEL

TPM CABAR KARYAWAN HASILKAN KARYA BERMUTU UNTUK MENANGI HADIAH NOBEL

mh online

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencabar rakyat Malaysia terutama para sarjana, ahli akademik dan karyawan supaya menghasilkan karya bermutu tinggi yang mampu menjadi ‘siulan’ masyarakat antarabangsa malah mampu memenangi hadiah Nobel.

Timbalan Perdana Menteri berkata karyawan dalam genre fiksyen misalnya, juga perlu mengorak langkah dan bekerjasama bersama penerbit filem bagi menghasilkan filem dan telenovela bertaraf antarabangsa.

“Hasilkan karya yang menjadi siulan masyarakat antarabangsa dan pada ketika itu (memenangi hadiah Nobel), kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa, ideologi, budaya dan agama akan berasa bangga berada di bawah negara Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di sini, hari ini.

Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi YPBN Hasan Hamzah.

Beliau berkata karyawan negara masih melihat pasaran buku terlalu kecil tanpa menjelajah ke dalam bentuk lain seperti diadaptasikan ke filem yang mampu menarik perhatian orang ramai.

Sebagai contoh, kata Ahmad Zahid, novel seperti Harry Potter yang diangkat ke layar perak berjaya mencatat kutipan “box office” sekali gus mencapai audiens yang lebih besar.

“Kita masih berada di bawah kepompong… mungkin kerana berasa terlalu kecil untuk menterjemah karya ke peringkat antarabangsa dan dijadikan bahan-bahan filem untuk tontonan masyarakat global,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid turut meminta penggiat filem negara menghasilkan filem-filem karya penulis di negara ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Anugerah Telenovela yang akan menjadi kategori terbaru pada Anugerah Buku Negara 2016.

Anugerah Buku Negara bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan tenaga di sebalik tabir industri perbukuan dan memberi suntikan semangat untuk menggalakkan penghasilan karya berkualiti.

Pada majlis itu juga, Timbalan Perdana Menteri turut diraikan para hadirin sempena ulang tahun ke-63 kelahirannya hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas memotong kek dan pulut kuning yang turut dihadiri anggota keluarganya itu, Ahmad Zahid berkata beliau bersyukur dan merasakan keinsafan dengan pertambahan usianya.

“Saya mengharapkan setiap patah perkataan dan tindakan mesti berlandaskan kepada kematangan walaupun saya tahu saya tidak dapat memuaskan hati semua orang.

“Tetapi saya sedaya upaya mungkin boleh cuba melakukan terbaik untuk semua kumpulan dan golongan masyarakat,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top