Anda di sini!
Utama > Terkini > TPM Akan Hadiri CHOGM 2015 Di Malta dari 27- 29 Nov

TPM Akan Hadiri CHOGM 2015 Di Malta dari 27- 29 Nov

mh online

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Malta dari 27 hingga 29 Nov.

Beliau akan diiringi isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

Delegasi Malaysia juga terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dan para pegawai kanan Kementerian Luar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Unit Perancangan Ekonomi, menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

CHOGM, sidang kemuncak dwi-tahunan, ialah platform penting bagi ketua-ketua kerajaan negara anggota Komanwel berkumpul bagi membincangkan isu-isu global dan komanwel dan membuat keputusan mengenai dasar-dasar dan inisiatif secara kolektif.

CHOGM di Malta akan menangani isu seperti perubahan iklim, migrasi, ekstremisme dan keganasan melampau, membina daya tahan di negeri-negeri kecil, pembangunan mampan, memperkasakan belia, kesaksamaan gender dan hak asasi manusia.

CHOGM 2015 bertemakan “Menambah Nilai Global” akan berusaha untuk menggunakan kekuatan Komanwel dalam politik antarabangsa untuk mempengaruhi dan memberi kesan kepada isu-isu global yang penting, kata kenyataan itu.

“Memandangkan kedudukan geografi di seluruh dunia, tindakan dan inisiatif yang diambil di peringkat Komanwel pasti akan menambah nilai-nilai global dalam isu-isu kepentingan dan kebimbangan kepada masyarakat Komanwel,” katanya.

CHOGM di Malta juga akan menyaksikan pemilihan Setiausaha Agung Komanwel yang baharu untuk menggantikan Kamalesh Sharma dari India, yang tempoh khidmatnya berakhir pada 31 Mac, tahun depan.

CHOGM 2015 didahului oleh Mesyuarat Menteri-Menteri Luar pra CHOGM yang akan berlangsung dari 25 hingga 26 Nov. Anifah akan menghadiri mesyuarat itu.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top