Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi sehari ke Brunei, hari ini, bagi meningkatkan jalinan tali persahabatan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Zahid dalam lawatan pertamanya sebagai pemimpin nombor dua negara itu akan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri akan turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Pehin Abu Bakar Apong dan Menteri Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Pehin Mohammad Yasmin Umar.

Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah pula akan menghoskan majlis santapan malam rasmi bagi meraikan Ahmad Zahid.

“Lawatan ini bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka dan memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

Dari Januari hingga Jun tahun lepas (2016), jumlah perdagangan antara kedua-dua negara direkodkan pada RM1.42 bilion (US$356.1 juta).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *