PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu anggota perkhidmatan awam berusaha ke tahap kemampuan maksimum atau melebihi had dan menolak sikap mudah berpuas hati dengan pencapaian yang “lebih kurang atau ok” sahaja.

Mengakui beliau tidak boleh menjadi perdana menteri yang berkesan tanpa perkhidmatan awam yang berkesan, Najib berkata beliau mahu penyelesaian secara kreatif dan inovatif diamalkan untuk mencapai sasaran lonjakan berganda untuk Malaysia.

“Jika kita boleh melaksanakan sesuatu perkara secara kolektif, output (hasil) mesti lebih besar, menyeluruh dan bermakna lagi.

“Kita perlu sentiasa berusaha mencari penyelesaian kreatif dan inovatif,” katanya pada sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa menjadi moderator majlis dialog tersebut yang dihadiri kira-kira 1,300 penjawat awam.
Selain mendokong dan melaksanakan dasar kerajaan, Najib turut menekankan kepentingan setiap jabatan dan penjawat awam berkerjasama antara satu sama lain.

“Misalnya dalam kerajaan ada terlalu banyak tabung dan dana, kita mahu satukan. Kementerian yang ada dana itu akan pertahankan kerana itu ‘turf’ (gelanggang) atau program dia.

“Sama ada kita sanggup mengorbankan sedikit pengaruh atau kuasa kita tetapi memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Adakah kita mempunyai sikap sedemikian dalam perkhidmatan awam?, “katanya.

Perdana Menteri turut menekankan penjawat awam yang mempunyai set kemahiran seperti mengurus data raya dalam pentadbiran supaya lebih fokus kepada keperluan rakyat.

Katanya, penjawat awam sebagai pengawal selia juga perlu mempunyai minda sebagai fasilitator supaya lebih disenangi oleh rakyat.

Dalam sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu, pelbagai pandangan dan cadangan dilontarkan oleh penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi mengenai aspirasi mereka terhadap Malaysia bagi 30 tahun akan datang.

Antara pandangan yang disuarakan termasuk memperkasakan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi masa hadapan yang berakhlak serta memantapkan sistem pengangkutan dan kesihatan.

“Saya dapati sesi dialog dengan penjawat awam muda ini sangat memberangsangkan lebih-lebih lagi sebahagian besar telah cuba melakar aspirasi Malaysia 2050 nanti” kata Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *