Seorang tokoh perniagaan Malaysia, Datuk Dr Noordin Ahmad mungkin menjadi pemilik baru kelab Serie B, FC Bari 1908, selepas dikatakan akan mengambil alih kepentingan 50 peratus kelab Itali itu dengan harga Euro 12 juta (RM53.159 juta).

Berita itu disiarkan beberapa akhbar Itali semalam, yang melaporkan presiden kelab itu yang juga bekas pengadil, Gianluca Paparesta dipetik sebagai berkata beliau sudah mencapai persetujuan bersama anggota lembaga pengarah kelab mengenai penjualan kepentingan tersebut kepada Dr Noordin pada 8 April lepas.

Paparesta kini memiliki 95 peratus pegangan terhadap kelab dari Selatan Itali itu.

Spekulasi mengenai kemungkinan pengambilalihan kelab itu tersebar selepas Jalur Gemilang (bendera Malaysia) dilihat berkibar di bahagian tempat duduk penonton semasa perlawanan FC Bari di laman sendiri berdepan Cesena di stadium kelab itu – Stadio San Nicola pada 4 April.

Perubahan terhadap pemilik kelab itu sudah tentu meningkatkan semangat kelab berpangkalan di Apulia itu untuk menampilkan prestasi lebih baik dalam Serie B, di mana pasukan itu kini menduduki tempat ketiga dengan kutipan 57 mata selepas mengharungi 35 perlawanan.

Difahamkan, ini bukan kali pertama Dr Noordin berminat dengan bola sepak Itali.

Pada Januari lepas, beliau dilihat bersama rakan karibnya, Grazia Innarelli, seorang peguam Itali, melawat ibu pejabat sebuah lagi kelab Itali, SS Lazio dengan harapan menjadi rakan kongsi kelab berkenaan.

Paparesta dipercayai membeli kelab berkenaan dengan harga Euro 2 juta (RM8.850 juta) pada 20 Mei, 2014 semasa acara lelongan muflis ketiga kelab itu sebelum menukar nama pasukan berkenaan kepada FC Bari 1908 S.P.A.

Diberi jolokan iGalletti (Ayam Jantan) atau iBiancorossi (Putih-Merah) sempena warna pasukan itu, FC Bari ditubuhkan pada 1908 dan beberapa pemain bola sepak terkenal pernah beraksi bersama pasukan itu seperti Nicola Ventola, Gianluca Zambrotta, Antonio Cassano, Diego De Ascentis, Leonardo Bonucci and Andrea Ranocchia.

Pencapaian terbaik FC Bari adalah pada 1947 apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam Serie A, iaitu liga bola sepak terulung di Itali.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *