Lim Teong Kim sedia menyertai debat demi meningkatkan kemajuan bola sepak negara dengan bersyarat.

Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu berkata, beliau tidak ada masalah untuk menhadiri debat yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bagi mengupas kemerosotan bola sepak negara itu.

“Ia untuk kebaikan bola sepak negara. Tetapi pihak-pihak yang terlibat dengan bola sepak negara mestilah ada sekali, itu syaratnya.

“Pemimpin tertinggi badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu ada bersama, selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Persatuan Negeri (FA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan lain-lain lagi, jika syarat ini diikuti barulah saya hadir.

“Semua orang tahu apa punca sebenar kemerosotan dan sekarang biar sama-sama bincang seterusnya buat kerja,” jelasnya ketika dihubungi pada Khamis.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada pagi Rabu, Tunku Ismail mencabar supaya satu perbahasan diadakan bagi mengupas dengan lebih mendalam masalah kemerosotan bola sepak negara dan pihak yang perlu bertanggungjawab.

Katanya, beliau sendiri akan turut serta dalam debat itu bersama beberapa individu penting arena bola sepak negara, di mana beliau menyarankan ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Astro.

“Saya menggesa pihak Astro, untuk mengadakan sesi siaran langsung di televisyen bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, wakil daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B.Sathianathan dan saya sendiri untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, awal pagi Rabu.

Setakat ini, Khairy dan Sathianathan antara yang mengesahkan untuk menyertai debat berkenaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *