Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tingkat Pengetahuan Ilmu Ketenteraan – Yang Di-Pertuan Agong

Tingkat Pengetahuan Ilmu Ketenteraan – Yang Di-Pertuan Agong

mh online

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah mahu para pegawai tentera muda perlu terus meningkatkan pengetahuan dalam ilmu ketenteraan supaya mereka lebih sensitif dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa.

Sebagai pegawai tentera berijazah, baginda turut berharap pasukan pertahanan negara akan lebih berkemampuan untuk menghadapi cabaran kerjaya masa hadapan dengan penuh yakin serta semangat jati diri yang tinggi.

“Seperti yang kita ketahui, profesion ketenteraan merupakan satu kerjaya yang unik. Kerjaya ini menekankan dua elemen penting iaitu kemahiran ketenteraan dan kepakaran profesional dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains dan pengurusan yang strategik.

“Gabungan kedua-dua elemen ini akan memberi kesan kepada usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara. Beta harap dengan ilmu yang ada, saudara-saudari akan dapat menyumbang ke arah pembentukan angkatan tentera yang kredibel dan disegani,” titah baginda pada istiadat perbarisan pentauliahan diraja dan pengurnian watikah tauliah pegawai kadet dan pegawai graduan Angkatan Tentera Malaysia 2016 di Kem Sungai Besi, di sini Sabtu.

Teks titah ucapan baginda dibacakan oleh Tengku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Tuanku Abdul Halim mahu mereka lebih proaktif dalam membantu dalam merancang masa hadapan Angkatan Tentera supaya dapat menyesuaikan diri kepada ancaman bentuk baharu yang mula dirasai dalam proses globalisasi kini.

Baginda turut mengingatkan para graduan supaya sentiasa menjaga nilai peribadi dan akhlak supaya tidak terjebak dengan gejala tidak sihat.

“Maruah dan imej Angkatan Tentera boleh terjejas akibat tindakan segelintir pegawai yang tidak bermoral dan tidak amanah. Maka semua tugasan hendaklah disempurnakan dengan jujur dan amanah,” titah baginda.

Pada majlis itu, Tunku Puteri Intan Safinaz mengurniakan watikah tauliah kepada 368 orang pegawai tentera termasuk 85 wanita, yang menamatkan latihan ketenteraan dan pengajian akademik mereka, iaitu dalam jurusan kejuruteraan dan dalam bidang pengurusan.

Pegawai Rendah Kanan Muhammad Aliff Zailan Zamri dinobat sebagai Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan; Pegawai Rendah Kanan Nur Izzuddin Kamarozaman sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat; Pegawai Kadet Kanan Muhammad Ashraf Hassan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Laut dan Pegawai Rendah Muda Mohamad Asmaie Sahabudin pula Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara.

Leave a Reply

Top