Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tindakan Mahfuz Melanggar Tatatertib

Tindakan Mahfuz Melanggar Tatatertib

KUANTAN, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah murka dan tersinggung dengan tindakan pihak yang menghina dan menularkan rakaman video ayahanda baginda di media sosial.

Baginda turut menyifatkan tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang didakwa menghina dan memperlekehkan Sultan Pahang dalam ceramah politiknya sebagai melanggar tatatertib.

“Saya tidak hendak bercakap banyak tetapi kalau kita dengar dan lihat percakapannya sudah melanggar tatatertib bagi seorang yang muda sedikit daripada ayahanda saya.

“Sebagai orang Melayu, kita diasuh untuk menghormati orang yang lebih tua, tambah-tambah lagi orang ini adalah seorang Raja… jadi janganlah tidak bertempat,” titah baginda kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini hari ini.

Tengku  Abdullah seterusnya menyentuh penularan rakaman video Sultan Ahmad Shah di kamar beradu yang didakwa dirakamkan pada ulang tahun keputeraan baginda, sehingga menjadi tontonan umum.

Titah baginda yang lebih membuatkan baginda tersinggung ialah perbuatan itu dilakukan oleh mereka  yang dipercayai dari  dalam Istana sendiri menyebabkan baginda mahu tindakan diambil terhadap individu tersebut.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenainya (Mahfuz dan penularan video). Saya percaya kertas siasatan sudah dibuka kerana banyak laporan polis dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO). Saya serahkan kepada pihak berkuasa,” titah baginda.

Tengku Abdullah juga menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir individu termasuk golongan artis yang dianugerahkan dengan darjah kebesaran Pahang dan terlibat dengan perbuatan tidak sepatutnya.

Titah baginda, semua penerima gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ dari Pahang sepatutnya sudah maklum akan syarat serta etika yang harus dipatuhi dalam  pemakaian gelaran itu.

Jika berlaku perlanggaran etika pemakaian darjah kebesaran itu, Tengku Abdullah menggesa supaya jawatankuasa yang berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak mahu cakap terlebih… kalau ikut hati, hendak tarik semua tapi kena ikut prosedur. Kalau (mereka) sudah sedar dan pulangkan sendiri (darjah kebesaran) itu lebih bersopan.

“Kita bukan hendak menghukum mana-mana pihak tetapi mereka sendiri tersilap langkah,” titah baginda.

Leave a Reply

Top