Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tidak Mahu Terima Teguran Punca Hamidah Keluar Parti

Tidak Mahu Terima Teguran Punca Hamidah Keluar Parti

IPOH, Kelemahan pimpinan Bersatu yang tidak mahu menerima teguran dan serangan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara punca Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman meletak jawatan dan keluar parti.

Perkara tersebut didedahkan sendiri Hamidah dalam satu rakaman video ekslusif lewat malam tadi.

Hamidah menegaskan berjuang dalam bidang politik bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan  jiwa yang kental selain teguh dengan prinsip sendiri.

Baginya perjuangan dengan Bersatu, satu  keistimewaan kerana diketuai Tun Mahathir tanpa tokoh itu parti berkenaan tidak ke mana-mana .

Namun ada pula yang melabelnya sebagai gila jawatan kerana mahukan jawatan Pengerusi Bersatu Perak.

“Ramai yang cakap apabila tidak dilantik, saya kecewa. Itu bukan faktornya kerana ketika itu saya ada jawatan yang lebih tinggi iaitu Naib Presiden Bersatu.

“Cuma saya kecewa cara pemilihan yang dibuat itu tidak menjamin atau memastikan kejayaan Bersatu di Perak seperti yang saya harap dan usahakan sejak dari awal penubuhannya di negeri ini,” katanya.

Lebih mengecewakan, Hamidah turut dituduh pengkhianat parti apabila cuba menyuarakan pandangannya untuk kebaikan parti yang dilihat sebagai budaya yang menyebabkan berlaku pepecahan.

Jelasnya, perkara itu jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan akan menimbulkan satu masalah besar dalam Bersatu.

Tidak terhenti di situ sahaja, bekas Adun Sungai Rapat itu mengakui  kecewa dengan Syed Saddiq yang sebelum ini pernah menghalaunya keluar parti selain menuduhnya sebagai agen Umno.

“Selaku anak muda yang pangkatnya seperti anak saya tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian. Sebagai seorang ibu, wanita dan orang Melayu yang kaya dengan adab, saya tidak sanggup melihat  budaya itu diterapkan dalam Bersatu.

“Malangnya perbuatan tersebut seolah direstui kerana tiada sebarang langkah atau tindakan diambil dalam membendung budaya yang dibawa Saddiq itu,” katanya.

Situasi itu katanya, menunjukkan dengan jelas Syed Saddiq berani berbuat demikian disebabkan ada orang kuat dibelakang yang menyokong segala tindak tanduknya.

Menganggap dirinya sudah tawar hati dengan keadaan yang tidak terkawal ini, beliau membuat keputusan walaupun berat hati untuk melepaskan semua jawatan  termasuk keluar dari Bersatu.

“Saya rasa tidak mampu lagi berjuang bersama Tun Mahathir. Bukan mudah keputusan ini dibuat tetapi saya yakin ia baik untuk semua pihak,” katanya.

Leave a Reply

Top