Kerajaan tidak menolak pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 walaupun mengambil ketetapan untuk tidak membentangkannya di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak timbul isu kerajaan menolak pindaan itu kerana Akta 355 adalah milik kerajaan, namun cadangan pindaannya kali ini dibuat oleh PAS sebagai usul persendirian.

“Akta tersebut adalah akta yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989 dan seterusnya kekal sebagai akta kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai kerajaan tidak akan membentangkan pindaan RUU 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.

Sementara itu, Asyraf dalam akaun Facebooknya berkata usul persendirian RUU 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua Rang Undang-undang kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.

“Usul Persendirian RUU 355 jika dibentangkan kelak, bermakna versi RUU 355 yang dicadangkan PAS akan terbuka kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat kelak.

“Apabila dibahaskan terserah kepada proses demokrasi berparlimen untuk membincangkan secara tuntas pro dan kontra setiap aspek dalam pindaan yang dicadangkan,” katanya dalam catatan di laman sosial itu.

Menurut Asyraf, jika ditakdirkan RUU 355 diterima kelak selepas dibahaskan dengan majoriti mudah, maka ia diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata kerajaan.

“Selepas itu kerajaan meneliti kembali aspek-aspek di dalam cadangan awal pindaan yang dibuat PAS sama ada untuk meminda bagi tujuan menambah baik atau kekal sebagaimana versi asal.

Tambahnya kerajaan akan mengambil kira semua faktor termasuk aspek yang menjadi polemik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat terhadap cadangan pindaan RUU 355 sebagai bukti ia bertanggungjawab kepada rakyat berbilang agama.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Anggota Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *