Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan sulit dengan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berhubung agihan kerusi untuk PRU14.

Mustapa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, perkara itu adalah tidak benar dan tidak berasas kerana BN tetap dengan keputusan untuk merampas negeri itu daripada tangan Pas.

“Saya tidak pernah bincang perkara ini dengan mana-mana pihak lebih-lebih lagi dengan Menteri Besar (Ahmad). Kita (cuma) kerjasama dalam hal tertentu seperti banjir, pelaburan dan hal berkaitan faedah untuk rakyat Kelantan.

“(Cita-cita untuk menawan Kelantan) masih sama…tiada perubahan. Kami berjuang untuk mengambil alih kerajaan negeri Kelantan (dari pimpinan Pas).

“Anak buah saya cukup bersemangat dan InsyaALLAH kita akan teruskan usaha dan kerja keras untuk pastikan penantian begitu lama akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Pidato Piala YB Tok Pa anjuran persatuan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini, pada Ahad.

Hadir sama Presiden HIMSAK, Datuk Mohd Faizal Daud dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Madya Abdul Aziz Ab Latif.

Pertandingan pidato selama tiga hari itu bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini disertai 83 pemidato dari kalangan pelajar universiti, sekolah dan orang awam.

Sebelum ini, dakwaan bahawa Mustapa mengadakan pertemuan sulit dengan Ahmad bagi membincangkan kerjasama berkenaan tular di laman sosial. Mustapa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku pada masa depan kerana keadaan politik yang sentiasa berubah-ubah.

“(Presiden Umnk) Datuk Seri Najib Tun Razak kata dalam politik kita tak boleh ramalkan apa yang akan berlaku, tidak ada ketentuan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak menolak kemungkinan menubuhkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bayangan daripada BN selepas ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *