Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada Kompromi Keselamatan Pintu Masuk Negara – TPM

Tiada Kompromi Keselamatan Pintu Masuk Negara – TPM

Aspek keselamatan di semua pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang antarabangsa tidak akan dikompromi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementerian itu dan jabatan serta agensi di bawahnya akan memberi fokus dan keutamaan dalam soal keselamatan di lapangan terbang.

Rondaan bersama polis dan Angkatan Tentera Malaysia serta kecanggihan aset dan peralatan sokongan keselamatan merupakan dua aspek penting untuk keselamatan di lapangan terbang, katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan terus membantu Malaysia Aiports Holdings Berhad (MAHB) meningkatkan aspek keselamatan di lapangan terbang.

“Di KLIA, banyak jabatan dan agensi terlibat. Kita tidak boleh berada dalam kepompong kecil di kalangan kita. Kita tidak boleh ada pemikiran silo,” katanya pada majlis pelancaran KUL VIP Access di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali.

Leave a Reply

Top