Anda di sini!
Utama > Belia > Tiada Keperluan UniKL Iktiraf UEC

Tiada Keperluan UniKL Iktiraf UEC

Pemuda Umno mendesak Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa supaya menarik balik kenyataannya berhubung Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, langkah sedemikian bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana tidak memenuhi sistem pembelajaran selain standard kurikulum berlainan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mara berkata, tiada keperluan UniKL berbuat demikian dan Annuar perlu memberi penjelasan bahawa kenyataan itu pendapat peribadi beliau tanpa merujuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“UniKL adalah milik penuh Mara dan pengurusannya perlu sesuai dengan perjuangan Mara yang memberi kelebihan kepada golo-ngan Bumiputera. Sebarang langkah mengiktiraf UEC adalah satu langkah ke belakang yang tidak menguntungkan orang Melayu,” katanya.

Nazir Hussin berkata, ketegasan menteri amat dialu-alukan memandangkan UEC tersebut tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara yang memerlukan kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah.

Beliau mengulas kenya-taan Ismail Sabri yang menolak kenyataan Annuar bahawa UniKL tidak pernah mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan penuntut ke institusi pengajian tingga swasta (IPTS) itu.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, walaupun dibenarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2004 untuk berbuat demikian, UniKL tidak pernah berhasrat membuka kemasukan untuk pemegang UEC.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani kesal kerana tindakan Annuar mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan menteri dan aspirasi kerajaan.

Menurutnya, sebarang pengiktirafan kepada UEC tidak membantu usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan antara kaum dan membentuk identiti nasional dalam kalangan masyarakat.

“Kenyataan bercanggah akan menimbulkan kebimbangan masyarakat dan boleh menyebabkan Mara tidak lagi dihormati. Annuar perlu berbincang dengan Mara atau menteri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Top