Anda di sini!
Utama > Sukan > Tiada Isu Sebalik Ketiadaan Coutinho

Tiada Isu Sebalik Ketiadaan Coutinho

Jurgen Klopp tegas mengatakan bahawa Philippe Coutinho benar-benar cedera dan tidak dapat diturunkan ketika pasukannya menang 2-1 di Burnley dan pada masa sama enggan melayan spekulasi yang menyebut perpindahan pemain Brazil itu ke Barcelona.

Coutinho terlepas aksi di Turf Moor akibat kecederaan paha dan khabar angin mengenai perpindahannya ke Nou Camp semakin hangat diperkatakan.

Ia diperkukuhkan lagi apabila beberapa gambar di dalam laman web penaja kelab Catalan itu, Nike memaparkan nama Coutinho pada jersi Barcelona. Bagaimanapun gambar itu sudah dipadam.

Pengurus Reds, Klopp mendakwa tidak ada isu terselindung di sebalik ketiadaan pemain berusia 25 tahun itu di dalam senarai pemain Liverpool di Turf Moor.

“Saya ada mendengarnya (gambar jersi Barcelona dengan nama Coutinho). Ada orang memberitahu saya dan saya agak terkejut. Tetapi saya tidak berminat dengan perkara itu,” kata Klopp.

“Dia (Coutinho) dan Mohamed (Salah) mengalami kecederaan. Tidak begitu serius tetapi tidak boleh bermain hari ini. Mereka juga mungkin tidak ada dalam pasukan pada perlawanan menentang Everton nanti.”

Ketiadaan Coutinho dan Salah digunakan sebaik mungkin oleh pertahanan Estonia, Ragnar Klavan untuk menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada minit akhir perlawanan selepas Johann Berg Gudmundsson menyamakan kedudukan.

Dan Klopp berpuashati dengan semangat juang pemain pertahanannya apatah lagi pada perlawanan yang menyaksikan peluang mereka untuk menang agak tipis.

“Saya gembira dengan sikap serta karektor yang ditunjukkan pemain,” kata Klopp.

“Anda perlu menang perlawanan sebegini apatah lagi ketika anda tidak berada dalam kedudukan 100 peratus.

“Burnley bermain dengan motivasi tinggi. Kami perlu bersedia menghadapi hujan dan angin.

“Cuaca agak sejuk dan anda perlu menumpukan perhatian. Anda perlu bekerja keras, bermain sebagai satu pasukan, berdisiplin dan mengharapkan sedikit tuah. Kami berhak memperoleh tiga mata itu.

“Kami perlu menang bukan saja ketika cuaca panas. Memang hebat rasanya apabila kami menjaringkan gol. Saya tidak pernah meragui karektor pemain saya.”

Jaringan Mane pada perlawanan itu adalah yang kelapan baginya musim ini dan Klopp pantas memuji pemain sayap Senegal itu yang bijak mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain utama.

“Sadio sangat penting buat kami,” kata Klopp.

“Dia kuat, pantas, banyak lagi. Dia menjaringkan gol hebat. Semua pemain lain bertepuk tangan ketika dia masuk ke bilik persalinan.

“Kami sangat perlukannya. Saya gembira kerana mempunyai pemain yang mampu menjaringkan gol dalam situasi sukar.”

Sementara itu, pengurus Burnley, Sean Dyche meluahkan rasa kecewanya terhadap keputusan yang diterima pasukannya tetapi pada masa sama enggan menyalahkan anak buahnya.

“Saya rasa kami sudah melakukan yang terbaik untuk memperoleh satu mata,” katanya.

“Justeru, saya amat kecewa apabila lawan menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan tetapi secara keseluruhan, saya bangga dengan mentaliti pemain saya.” – AFP

Leave a Reply

Top