Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada Individu Yang Akan Terlepas

Tiada Individu Yang Akan Terlepas

Kerajaan akan memastikan tiada individu akan terlepas jika benar wujud unsur khianat dalam tragedi kebakaran bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri meminta semua pihak memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh terhadap tragedi itu dan tidak membuat spekulasi mengenainya.

Katanya, Jabatan Forensik PDRM melihat pelbagai kemungkinan berkaitan unsur jenayah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pasukan sama meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh dari bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdekatan.

“Jika ada suspek melakukan khianat, individu itu tidak akan terlepas. Ini saya beri jaminan walaupun kita mungkin berbeza pendapat, fahaman atau kepentingan tertentu, soal nyawa tidak ada kompromi.

“Jangan guna nyawa anak-anak ini disebabkan ada perbezaan pendapat atau fahaman jika ada, saya tidak menuduh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti peringkat kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah awal pagi kelmarin meragut 21 nyawa pelajar dan dua warden asrama dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mesyuarat pasukan petugas khas kes kebakaran itu yang akan dipengerusikan Selasa ini, antara lain untuk membincangkan mengapa syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kebakaran Sekolah Agama Taufikiah Alhalimiah (Pondok Pak Ya) pada 1989 tidak dilaksanakan oleh maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat (SAR) persendirian seluruh negara.

Kebakaran Pondok Pak Ya di Kedah mengorbankan 27 pelajar perempuan di sekolah agama itu sehingga mendorong kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kes berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, semua syor dalam RCI itu sudah didokumentasi dan dibentang dalam Kabinet, malangnya ia tidak diikuti oleh maahad tahfiz dan SAR persendirian serta swasta di negara ini.

Beliau turut meminta semua maahad tahfiz dan SAR persendirian serta swasta supaya berdaftar dengan jabatan agama Islam negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) demi keselamatan dan kemudahan pelajar.

“Jangan ada prasangka terhadap jabatan agama Islam negeri atau JAKIM, mereka tidak akan ambil alih (sekolah terbabit).

“Jabatan agama Islam negeri dan JAKIM sudah mewujudkan dasar pendidikan tahfiz, dasar ini sudah ada dan harus diikuti. Jangan sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.

Leave a Reply

Top