Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Tiada Caj Tambahan Untuk Pasport Versi Baru

Tiada Caj Tambahan Untuk Pasport Versi Baru

PUTRAJAYA, Tiada caj tambahan dikenakan untuk permohonan dan pembaharuan pasport Malaysia versi baharu yang dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Melancarkan pasport versi baharu yang mula diperkenalkan sejak 15 Nov lepas pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri  berkata pasport itu mempunyai penambahan  ciri-ciri keselamatan berbanding sebelumnya.

Katanya pasport itu mampu mencegah daripada dijadikan pasport tiruAn atau disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Biarpun mutu (pasport) telah meningkat tetapi harganya tidak dinaikkan. Beban rakyat tidak akan bertambah. Tiada cukai tambahan dan bayaran perkhidmatan baharu (permohonan atau pembaharuan pasport) pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini hari ini.

Kadar yang dikenakan untuk permohonan atau pembaharuan pasport baharu sekarang ialah RM200 bagi setiap pasport.

Antara ciri keselamatan yang ditambah baik pada pasport versi  baharu itu termasuklah muka surat biodata polikarbonat disertakan bersama cip dan ciri pengesahan ketulenan pasport yang hanya boleh didedah melalui cahaya ultra violet (UV).

Pada perhimpunan bulanan itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa sehingga tahun lepas, sebanyak 65,108 pertubuhan induk dan 63,591 pertubuhan cawangan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) manakala 57 parti politik telah didaftarkan.

Pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid mahu menteri-menteri yang bertanggungjawab,  menyelesaikan isu perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar.

Beliau meminta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Datuk Seri Nancy Shukri untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan pemandu teksi.

“Tidak perlu ugut ,” katanya ketika diminta mengulas isu kumpulan pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan wujudnya perkhidmatan kereta Uber dan GrabCar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kabinet belum membuat keputusan berkenaan pembukaan kedutaan Malaysia di Baitulmuqqadis Timur.

Sebelum ini, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dilaporkan menyatakan hasrat kerajaan negara itu untuk membuka pejabat kedutaan di Baitulmuqaddis Timur.

Leave a Reply

Top