PUTRAJAYA, Thailand bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk mengekstradisi 10 warga negara itu yang dipercayai dalang kes pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 10 individu yang berumur antara 35 hingga 60 tahun itu dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lalu.

Beliau berkata berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, individu yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebahagiannya sudah ditahan oleh Thailand manakala sebahagian lagi masih bebas.

“Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka. Kita tidak mahu masyarakat antarabangsa memandang bahawa kes itu hanya dilakukan oleh pihak Malaysia, tetapi ia melibatkan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan Thailand, yang melakukan kunjungan hormat terhadap beliau bersempena lawatan kerja seharinya ke Malaysia.

Ahmad Zahid berkata nama 10 individu itu telahpun diserahkan secara rasmi kepada Thailand semasa lawatan kerja beliau ke Bangkok pada 4 dan 5 Ogos lepas.

“Saya telah menyerahkan nama-nama itu dan hari ini, pihak berkuasa Thailand memaklumkan tindakan susulan daripada permintaan Malaysia. Sebaik sahaja Thailand menyerahkan kepada kita, kita akan mengambil 10 individu itu.

“Namun, proses ekstradisi ini perlu menjalani beberapa proses dan aspek perundangan serta harus dilihat kesesuaian berdasarkan International Transfer of Prisoners,” jelasnya.

Timbalan perdana menteri berkata dalam mesyuarat dua hala itu, Malaysia turut memohon kerjasama Thailand untuk mengenal pasti rakyat mereka yang mempunyai dwi kewarganegaraan bagi mengelak timbul masalah berkaitan isu keselamatan.

“Malaysia turut meminta pihak berkuasa Thailand bekalkan cap jari atau biometrik dan mengenal pasti nama yang mempunyai kerakyatan Thailand dan Malaysia bagi mengelak timbul masalah kerumitan berkaitan isu keselamatan,” katanya.

“Dengan adanya rekod nama dan biometrik, ia akan memudahkan untuk mengesan mereka sekiranya mereka melakukan jenayah di Thailand dan melarikan diri ke Malaysia dengan menggunakan nama Malaysia,” katanya.

Ditanya tentang hubungan antara Daesh dan pemerdagangan manusia, Ahmad Zahid berkata: “kami tidak mempunyai bukti tetapi terdapat hubungan ideologi Selatan Thailand dan Filipina, dengan Indonesia dan Malaysia. Kita perlu menyiasat tentang hubungan penyeludupan dan pemerdagangan. Kami sedang menyiasat lebih lanjut.”

Ditanya sama 10 individu mempunyai dwi kewarganegaraan, timbalan perdana menteri berkata Malaysia perlu menunggu data yang akan diberi oleh Thailand.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau dan Prawit turut menyentuh beberapa isu berkaitan Mesyuarat Rundingan Tahunan yang akan diadakan di Bangkok yang dijangka membincangkan kerjasama pembekalan tenaga elektrik dan kereta api laju.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan pelbagai agensi dan kementerian, serta mesyuarat jawatankuasa am sempadan antara Thailand dan Malaysia, katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid dan Prawit membincangkan perkara berhubung kerjasama jenayah rentas sempadan, program pertukaran antarabangsa banduan, kerjasama imigresen, deradikalisasi pengganas dan pengurusan sempadan serta pengangkutan.

“Negara menyedari bahawa isu keselamatan tidak dapat ditangani secara unilateral terutama melibatkan aspek jenayah rentas sempadan serta antarabangsa dan adalah penting bagi menangani ancaman secara berkesan.

“Ia melibatkan pemantauan terhadap pergerakan manusia merentasi sempadan selaras dengan kerjasama serantau Malaysia dan Thailand dalam beberapa mesyuarat,” katanya.

Antara mesyuarat itu ialah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia juga bersedia untuk menawarkan pengalaman dan kepakaran mengenai aspek deradikalisasi pengganas kepada Thailand.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *