Share on Facebook

KUALA TERENGGANU, Unit keselamatan berkonsepkan ‘Polis Rakan Masjid’ akan ditubuhkan di setiap masjid di negeri ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencegah sebarang ancaman keselamatan terhadap jemaah yang berkunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata ia sebagai langkah tambahan selain kawalan keselamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan di masjid-masjid berkenaan.

“Ia perkara yang mendukacitakan apabila terdapatnya kes-kes kecurian berlaku terhadap jemaah di masjid-masjid, walhal sepatutnya kita datang untuk menunaikan ibadah kepada Allah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Motivasi Budaya Kerja Cemerlang dan Pemantapan Integriti Imam dan Bilal Masjid Kerajaan dan Mukim Negeri anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, di sini semalam.

Baru-baru ini tular insiden kecurian yang dirakam menerusi CCTV di kawasan solat jemaah wanita di sebuah masjid di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus menunjukkan seorang lelaki menyamar sebagai jemaah wanita dan mencuri harta milik jemaah ketika semua sedang menunaikan solat subuh.

Mengulas lanjut, Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata ‘Polis Rakan Masjid’ akan mengawal keselamatan masjid terutama pada waktu subuh, maghrib serta isyak kerana jenayah didapati sering kali berlaku pada waktu tersebut berbanding waktu solat di siang hari (zohor dan asar).

Mengulas mengenai kekurangan kira-kira 800 imam di masjid negeri ini, beliau berkata kerajaan negeri akan terus melakukan sesi temuduga dari semasa ke semasa bagi mengisi kekosongan itu dalam masa terdekat.

Katanya faktor elaun yang rendah bagi jawatan imam dan bilal mungkin menyebabkan pihaknya sukar mendapatkan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut terutama di kawasan kampung.

“Tetapi kriteria untuk menjadi imam atau bilal juga bukan mudah. Kita mahu pastikan mereka ini seorang yang diterima masyarakat dan mempunyai akhlak terpuji selain ilmu agama yang mantap.

“Kita juga kena pastikan calon imam atau bilal ini tidak mempunyai agenda tersembunyi seperti menyebarkan ajaran yang tidak benar atau mempunyai unsur-unsur kepartian yang boleh memecah belahkan masyarakat,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *