Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Teras Bimbang Ada Pihak Burukkan Politik di Sarawak

Teras Bimbang Ada Pihak Burukkan Politik di Sarawak

mh online

Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), parti mesra Barisan Nasional (BN), bimbang terdapat individu atau kumpulan kecil yang mempunyai kepentingan dan cita-cita peribadi yang mengaburi amalan politik yang baik.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata Teras, di bawah nasihat dan bimbingan pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem, mahu pihak berkenaan menghentikan tindakan tersebut yang bukan dalam kepentingan pakatan itu sama sekali.

William yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri berkata demikian pada majlis makan malam sebagai penghargaan kepada media tempatan yang menyokong parti itu di sini malam tadi.

“Terdapat perbezaan dalam kalangan sahabat dalam parti tertentu atau rakan daripada parti berlainan mengenai beberapa perkara atau isu.

“Tetapi, ia bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan walaupun ia akan membabitkan beberapa kompromi. Apa yang lebih penting ialah masalah dalaman ini tidak boleh mengatasi kepentingan cabaran dan matlamat BN negeri yang lebih besar,” katanya.

Teras merupakan parti serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang diterajui anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

William berkata Teras “berterima kasih dengan kepimpinan BN negeri di bawah Tan Sri Adenan atas kepercayaan dan keyakinannya terhadap parti itu”.

“Empat wakil rakyat yang memegang jawatan menteri kanan dan pembantu menteri menunjukkan kehadiran kami dalam kerajaan negeri amat bermakna. Ia merupakan manifestasi peranan dalam membentuk dan menggubal dasar kerajaan masa kini.

“Kami juga bangga ramai pemimpin akar umbi yang berkhidmat untuk rakyat dengan baik sebagai anggota majlis daerah tempatan dan jawatankuasa pembangunan di kedua-dua peringkat bahagian dan daerah,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Teras akan bergerak ke hadapan dengan komitmen penuh bersama BN membantu menyampaikan mandat besar kepada BN negeri pada pilihan raya akan datang.

“Minda kita perlu ditetapkan untuk mencapai matlamat lebih besar. Usaha kita perlu fokus kepada menguatkan perpaduan dan kestabilan serta meluaskan sokongan akar umbi terhadap BN.

“Semua ini akan mewujudkan persekitaran politik yang kondusif untuk ketua menteri dan parti memerintah agar diberi mandat baharu dan lebih besar oleh rakyat di seluruh negeri,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top