Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Tembok As-Mexico Bakal Undang Bencana Alam

Tembok As-Mexico Bakal Undang Bencana Alam

Saranan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membina tembok di sempadan AS dan Mexico bakal mengundang “bencana alam sekitar,” lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Tembok itu akan mengundang bencana atas pelbagai sebab – dan antaranya ia bakal menjadi satu bencana di peringkat alam sekitar,” kata John Knox, Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia dan alam sekitar, dalam satu forum berkaitan biodiversiti di sini.

“Biodiversiti dan ekosistem tidak peduli dengan sempadan politik, ia tidak akan berhenti di mana tembok bermula,” kata Knox ketika ditanya pendapat beliau mengenai langkah kontroversial itu.

Satu halangan fizikal yang teguh boleh mengganggu pergerakan dan kemandirian spesies serantau, katanya. “Saya harap tembok itu tidak akan dibina.”

Pada akhir Oktober, dilaporkan bahawa lapan prototaip tembok telah didirikan di sepanjang sempadan antara bandar San Diego, AS dan Tijuana, Mexico.

Tembok setinggi sembilan meter itu diperbuat daripada konkrit dan bahan lain yang kononnya akan diuji untuk mengukur keberkesanannya, terutama dalam menghalang pendatang tanpa izin.

Pembinaan tembok di kawasan sempadan adalah antara janji utama yang dibuat Trump semasa kempen presiden AS tahun lepas.

Leave a Reply

Top