Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Telefon Bimbit Punca Kemalangan

Telefon Bimbit Punca Kemalangan

PUTRAJAYA, Penggunaan telefon bimbit ketika memandu dikenal pasti menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini sekali gus menunjukkan tahap kesedaran pemandu untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu masih rendah.

“Kajian MIROS terhadap 300 pemandu di sekitar Lembah Klang pada 2016 mendapati 43.4 peratus daripada mereka memandu menggunakan telefon bimbit manakala 61.9 peratus menggunakannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Selain itu, 53.0 peratus menaip teks ketika memandu dan 61.7 peratus membuat atau menjawab panggilan ketika memandu,” katanya kepada media selepas merasmikan Road Safety Run 2017 sempena ulang tahun ke-10 penubuhan MIROS di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Rashid Osman dan Ketua Perhubungan Komunikasi UBER, Shahrul Azhar Shaari.

Seramai 2,000 peserta menyertai larian bertemakan ‘Peka dan Selamat’ itu dengan kategori larian iaitu tiga dan 10 kilometer.

Lam Thye berkata, penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara ini perlu ditingkatkan bagi memastikan pemandu memandu mengikut peraturan ditetapkan.

“Daripada maklum balas responden yang terbabit dalam kajian ini, mereka mengakui bahawa sikap mempengaruhi tingkah laku untuk menggunakan telefon bimbit ini.

“Kita berharap budaya ini dapat diubah dengan segera yang mana pemandu sedar bahawa menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Leave a Reply

Top