Tayar celup haram dilihat hanya mempertaruhkan nyawa pengguna jalan raya, menyebabkan beberapa organisasi terpanggil untuk menggesa sekatan ke atas penggunaannya.

Rekod menunjukkan purata dua kemalangan harian berlaku akibat masalah tayar, dengan Plus Malaysia Bhd mencatatkan bahawa 613 kemalangan di lebuhraya pada tahun lepas disebabkan oleh faktor berkaitan tayar celup.

Kenderaan berat lebih cenderung untuk menggunakan tayar celup atas sebab yang jelas.

“Tayar celup biasanya 50 peratus lebih murah berbanding tayar baharu,” kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Sambil menegaskan bahawa ahli-ahlinya tidak akan membeli tayar celup yang belum mendapat pengesahan, beliau berkata kualiti rendah sesetengah tayar celup haram boleh menyebabkan ia meletup semasa kenderaan sedang bergerak.

Tayar berkenaan mungkin pecah akibat terlebih muatan, atau sama ada sarung atau getah dan gam yang digunakan pada tayar berada di bawah paras ditetapkan.

“Tayar adalah satu-satunya titik yang menghubungkan antara jalan raya dan kenderaan. Jadi, ia mesti dapat menahan haba, kelajuan tinggi dan beban kenderaan itu sendiri,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, bas ekspres untuk perjalanan jauh akan dipasang dengan tayar baharu manakala bas biasa yang bergerak pada jarak dekat akan dipasang dengan tayar celup di bahagian belakang.

Katanya, tayar-tayar tersebut seharusnya diperolehi hanya daripada pengeluar yang disahkan, sambil menambah tayar sepatutnya hanya perlu dicelup sebanyak satu kali.

Mohamad Ashfar menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan keras keras terhadap pengeluar yang mengeluarkan tayar celup secara haram.

Presiden Persatuan Pengusaha Lori Malaysia Jong Foh Jit mengakui bahawa sudah menjadi perkara biasa apabila lori menggunakan tayar celup kerana ia lebih murah.

“Tetapi mereka perlu memastikan tayar itu disahkan oleh Sirim,” katanya.

“Ada orang terdorong untuk menggunakan tayar lebih murah iaitu tayar celup haram disebabkan kelembapan ekonomi, tetapi mereka boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Foh Jit berkata beberapa pengusaha lori juga sanggup mencelup tayar sebanyak dua hingga tiga kali.

Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia berkata sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa bertindak ke atas pengeluar tayar celup haram yang tidak bertanggungjawab.

Langkah itu akan memaksa mereka untuk mendapatkan pensijilan Sirim dan mula mematuhi piawaian kerajaan, kata presidennya, Chin Hong Meng.

“Kami menggalakkan mereka untuk mendapatkan sijil MS224 Sirim sejak 2007. Itu 10 tahun yang lalu! Kami telah memberi mereka masa yang cukup. Sudah tiba masanya untuk penguatkuasaan dijalankan,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyelar sikap tidak bertanggungjawab pengeluar tayar celup haram, menyatakan bahawa banyak kemalangan maut berlaku disebabkan oleh tayar celup yang tidak memenuhi piawaian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *