Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) mencadangkan agar anugerah dan darjah kebesaran individu yang terlibat dengan kegiatan jenayah ditarik balik.

Presiden MDPM Tan Sri Danny Ooi berkata ini berikutan gelaran yang diberikan adalah satu penghormatan dan mereka sepatutnya tidak mencemari pengiktirafan itu dengan mana-mana insiden tidak diingini.

Beliau mengulas insiden tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang mendakwa cedera selepas dipukul seorang lelaki berstatus ‘Datuk Seri’ ketika sedang bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang di sini pada Jumaat.

“Kami perlu hormat mereka yang beruniform. Tarik balik gelaran itu walau apa jua alasan, tidak kira Datuk atau Datuk Seri.

“Bagaimanapun, individu berkenaan bukan anggota MDPM. Anggota majlis ini dianugerah Panglima Jasa Negara (PJN) dan Panglima Setia Diraja (PSD),”katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal sempena ulang tahun ke-15 MDPM di Hotel One World, di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, tiga anggota Rela, Melvin Cheong Mun Khai, 19; Lee Weng Poh, 27 dan Leong Jiun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu.

Dalam perkembangan lain, Ooi menyokong penuh pelaksanaan Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 serta Akta Anugerah 2016 yang berkuat kuasa mulai 25 Okt lepas, bagi menangani kes penipuan membabitkan orang awam.

Pihaknya turut mencadangkan diwujudkan talian penting supaya masyarakat boleh membuat aduan mengenai penggunaan gelaran palsu atau tidak diiktiraf.

Sementara itu, pada majlis berkenaan sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada enam rumah kebajikan dengan setiap rumah menerima RM5,000.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *