Perkhidmatan Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) akan mula mengenakan tambang kepada pengguna esok.

Perkhidmatan membabitkan Fasa Pertama antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 stesen sejauh 21 kilometer itu mula dibuka pada 16 Disember tahun lalu dengan tambang percuma termasuk bas pengantara selama sebulan iaitu sehingga hari ini.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Menurut pengendali perkhidmatannya. Rapid Rail Sdn Bhd, pengguna akan dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah kaedah tanpa tunai.

Syarikat itu bagaimanapun menggesa pengguna menggunakan kaedah tanpa tunai dengan membeli kad Touch ‘n Go bulanan atau mingguan daripada pejabat khidmat pelanggan di stesen MRT bagi kelancaran perjalanan.

Pelajar, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU) akan diberikan diskaun 50 peratus.

Waktu operasi perkhidmatan MRT pada Isnin hingga Jumaat adalah pada jam 6 pagi hingga 12 malam manakala Sabtu dan Ahad pada jam 6 pagi hingga 11.30 malam.

Bagi fasa kedua MRT SBK  yang melibatkan laluan 30 kilometer untuk 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya bermula 31 Julai ini.

Penumpang boleh mendapatkan butiran terperinci mengenai struktur tambang itu dengan melayari laman sesawang myrapid.com.my.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *