Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Taman Laut Terengganu Tutup Sepanjang Tengkujuh

Taman Laut Terengganu Tutup Sepanjang Tengkujuh

KUALA TERENGGANU, Kebanyakan operasi resort dan chalet di pulau-pulau peranginan di negeri ini akan ditutup sepanjang musim tengkujuh dan Monsun Timur Laut, bermula pertengahan bulan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihak Taman Laut juga akan menutup operasi bagi pengunjung dan pelancong ke pulau-pulau sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, ia bagi memastikan keselamatan pelancong, ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu juga, penduduk Pulau Perhentian dan pengusaha atau operator chalet dan resort akan mengambil peluang untuk berehat dan membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

“Pada masa ini juga, kebanyakan operator-operator resort dan chalet mengambil peluang ini untuk pergi bercuti, naik ke darat dan membuat aktiviti lain,” katanya.

Jelasnya, walaupun kebanyakan resort dan chalet ditutup sepanjang tempoh itu, masih ada hotel dan resort besar seperti Arwana Perhentian Eco Resort & Beach Chalet, Shari-La Island Resort dan Perhentian Coral View Island Resort membuka operasi bagi pelancong yang menetap lama.

Katanya, kebanyakan pelancong yang menetap lama di hotel dan resort berkenaan datang sebelum musim tengkujuh, namun aktiviti mereka terhad atas faktor keselamatan.

“Kita jangkakan operasi resort dan chalet-chalet ini akan mula dibuka penghujung Januari tahun depan, namun ia bergantung kepada keadaan musim monsun,” katanya.

Terengganu kini mempunyai 328 hotel dan resort yang menyediakan 12,141 bilik.

Daripada jumlah itu, Pulau Redang mempunyai 17 hotel dan resort, Pulau Perhentian Kecil (28), Pulau Perhentian Besar (19), Pulau Kapas dan Pulau Gemia (9), Pulau Tenggol (3) dan Pulau Lang Tengah (3).

Leave a Reply

Top