Anda di sini!
Utama > Belia > Takut Tegur Anak Punca Salah Laku Sosial – AADK

Takut Tegur Anak Punca Salah Laku Sosial – AADK

Sikap orang dewasa yang sudah tidak berani menegur kesalahan anak-anak menjadi antara punca semakin banyak salah laku sosial berlaku di negara ini termasuk masalah penagihan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata apabila ramai di kalangan orang dewasa tidak lagi mengambil peranan untuk mendidik, anak-anak yang pada awalnya terlibat dengan masalah ‘kecil’, akhirnya boleh terjerumus kepada gejala sosial yang lebih berat.

“Apabila semakin ramai orang dewasa tidak melarang atau menegah mereka apabila melakukan kesalahan dan lebih suka ‘memindahkan’ tanggungjawab itu kepada orang lain, maka situasi ini akan melarat sehingga ke peringkat terjebak dengan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bicara Banteras Dadah di Dewan Amphitheater UMNO Bahagian Pekan, dekat sini pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah AADK Pahang Abdul Ghani Abdul Rahman.

Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh agensi itu, jumlah penagih dadah di negara ini terus meningkat kepada 22,711 orang tahun lepas dengan 17,398 daripadanya merupakan penagih baharu berbanding 19,578 orang pada tahun 2015.

“Mengikut rekod yang diperoleh, ramai golongan belia terlibat termasuk pelajar sekolah dengan yang paling muda dikesan berumur 13 tahun.

“Keadaan ini seolah-olah sudah menjadi trend sekali gus menunjukkan kebolehdapatan bahan terlarang itu iaitu mudah atau senang masuk ke dalam komuniti kita,” katanya.

Abd Halim berkata, keadaan itu juga disumbangkan oleh faktor pengaruh kawan sebaya selain didorong rasa ingin tahu serta jati diri yang rapuh menyebabkan golongan berkenaan mudah terjerumus ke kancah penagihan dadah.

Sehubungan itu, katanya, AADK kini mengambil pendekatan dari sudut pembangunan melibatkan pemantauan ke atas risiko persekitaran, komuniti serta keselamatan masyarakat terutamanya anak-anak.

“Jika kita mahu membanteras dadah, masyarakat harus memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha yang dilakukan,” katanya.

 

Leave a Reply

Top