Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Syarikat Ambil Bahagian Dalam MYCarbon Dapat Insentif Cukai

Syarikat Ambil Bahagian Dalam MYCarbon Dapat Insentif Cukai

mh online

Kementerian Kewangan telah meluluskan insentif cukai bagi syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam program MYCarbon pada 2015 dan 2016, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata di bawah skim ini, entiti korporat layak untuk membuat potongan perbelanjaan sebenar yang ditanggung antara RM30,000 hingga RM200,000 dalam menyediakan dan mengesahkan inventori gas rumah hijau mereka.

Insentif cukai ini berdasarkan kepada tiga kelas laporan, iaitu platinum, emas dan perak untuk perundingan, laporan dalaman dan pengesahan pihak ketiga, katanya dalam ucaptama pada majlis Anugerah MYCarbon di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata kementerian akan terus memberi sokongan dan latihan kepada organisasi yang ingin menyertai program MYCarbon pada tahun-tahun akan datang.

Program Laporan Korporat Gas Rumah Hijau (GHG) Kebangsaan bagi Malaysia, yang dikenali sebagai MYCarbon, telah dilancarkan pada 3 Dis 2013 susulan ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen.

Program ini bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja untuk menyokong laporan GHG oleh organisasi dengan cara yang seragam dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan juga untuk menggerakkan dan mengekalkan penyertaan organisasi dalam jangka masa panjang.

“Oleh itu, adalah tepat pada masanya untuk memulakan program laporan sukarela di Malaysia, sebagai petunjuk penting untuk secara rela mengamalkan pembangunan yang lebih mapan,” katanya.

“Bagaimanapun, pemahaman yang jelas diperlukan pada proses mengenal pasti kos tersembunyi mod pembangunan tradisional untuk mendedahkan banyak manfaat dan kelebihan perakaunan GHG. ”

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan kesedaran dan penerimaan perubahan iklim sebagai salah satu cabaran terbesar dan ini menjadikan Malaysia bersetuju untuk merangka tindakan pengurangan GHG.

“Walaupun terdapat banyak cabaran yang dihadapi, kami telah berjaya meyakinkan 51 organisasi pelaporan perintis, yang mewakili pelbagai sektor untuk menyertai program MYCarbon tahun ini,” kata beliau sambil menambah bagaimanapun, hanya 24 syarikat mengambil bahagian tahun lepas.

Mengenai majlis Anugerah MYCarbon, Wan Junaidi berkata, ia diperkenalkan bukan sahaja untuk memberi pengiktirafan tindakan laporan awal GHG secara sukarela di Malaysia tetapi juga untuk mempamerkan pengalaman kejayaan laporan GHG.

“Anugerah ini juga (bertujuan) untuk menggalakkan penyertaan lebih banyak entiti korporat dalam usaha ini ke arah mengurangkan pelepasan karbon korporat, ” katanya.

Pada majlis itu, DIGI Communication Bhd meraih anugerah MYCarbon Gemilang 2015 melalui laporan sukarela projek pengurangan projek pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Penerima lain ialah Indah Water Konsortium Sdn Bhd, SAJ Holdings Sdn Bhd dan Penfabric Sdn Bhd.

Daripada 50 organisasi pelaporan perintis, 11 entiti perintis bersaing untuk anugerah berkenaan, yang telah diperkenalkan untuk memberikan pengiktirafan bagi tindakan pelaporan awal sukarela GHG di Malaysia.

Leave a Reply

Top