Anda di sini!
Utama > Nasional > Syarahan Dr Zakir Naik Di UTeM Diteruskan Dengan Tajuk Baharu

Syarahan Dr Zakir Naik Di UTeM Diteruskan Dengan Tajuk Baharu

Syarahan umum Dr Zakir Naik yang dijadual diadakan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Ahad ini diteruskan dengan tajuk baharu iaitu ‘Women’s Rights In Islam’. Pengarah Program Siri Syarahan Umum Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz berkata perkara itu diputuskan setelah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan selain mengambil kira sensitiviti dan pandangan orang ramai. “Tajuk syarahan Dr Zakir Naik di Melaka sebelum ini ialah ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ namun kami membuat keputusan untuk menukar kepada tajuk baharu kerana tajuk asal adalah sensitif,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan membenarkan tokoh pendakwah dari India itu mengadakan syarahan di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya.

Di GEORGE TOWN, program syarahan ilmu oleh Fariq Naik, anak kepada penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik, bertajuk ‘Misconceptions About Islam’ yang dijadual berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Jumaat ini dibenarkan dengan dua syarat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata perbincangan khas Exco kerajaan negeri pagi ini memutuskan untuk membenarkan program berkenaan diteruskan dengan syarat ia tidak menyentuh dan merendahkan agama lain serta penganjur memaklumkan program itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Rakyat pelbagai kaum boleh menghadiri untuk mendengar dan bersama-sama di wacana ilmu ini demi kesejahteraan dan perpaduan kaum di negeri Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polemik hangat di media massa berhubung isu kehadiran Dr Zakir Naik di beberapa lokasi di negara ini turut memberi kesan kepada penganjuran program syarahan anjuran Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) itu.

Bagaimanapun, Mohd Rashid berkata isu berkenaan perlu ditangani dengan bijaksana demi kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

Sementara itu, Pemuda UMNO Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P.Ramasamy yang melabel Dr Zakir dengan panggilan negatif.

Pengerusi Biro Agamanya, Mohd Norhiesam Ismail menyifatkan kenyataan itu sebagai biadap, rasis dan kurang ajar selain jelas menunjukkan Ramasamy sebagai pemimpin ketiga tertinggi di negeri ini tidak hormat kepada agama lain dan umat Islam.

“Walaupun beliau sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Zakir Naik, namun Pemuda UMNO Pulau Pinang menganggap perkara ini tidak semudah itu dengan perkataan yang dilemparkan cukup jijik dan meninggalkan kesan yang mendalam,” kata Mohd Norhiesam yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Top