Share on Facebook

Sukarelawan yang terlibat dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sesebuah kawasan kejiranan wajar diberi elaun bagi perkhidmatan yang dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kerajaan prihatin dengan peranan penting pasukan peronda di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ini serta mengambil berat terhadap keselamatan mereka semasa menjalankan rondaan.

“Sukarelawan yang terlibat dengan SRS ini bekerja secara sukarela. Mereka turut bekerja pada siang hari dan pada waktu malam melakukan rondaan di kawasan kejiranan bermula kira-kira 12 tengah malam hingga 4 pagi.

“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan dapat membayar sedikit elaun kepada sukarelawan yang terlibat dalam SRS kerana mereka menjalankan tugas dengan inisiatif sendiri bagi menjaga keamanan dan keselamatan kawasan setempat,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai sebarang insentif atau elaun untuk sukarelawan SRS terutama sekiranya berlaku sebarang insiden semasa menjalankan kawalan keselamatan di kawasan kejiranan masing-masing.

Kurup berkata terdapat 5,004 SRS dalam kawasan rukun tetangga telah ditubuhkan di seluruh negara pada masa ini dan 7,490 kes jenayah di peringkat komuniti berjaya ditangani oleh pasukan tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *