Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap profesional dalam mengambil tindakan terhadap pihak kerajaan mahu pun pembangkang tanpa membabitkan kecenderungan politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata penahanan dilakukan SPRM bertujuan menjalankan siasatan berdasarkan asas kukuh dan bukan bersifat politik.

Beliau turut membidas tindakan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan disifatkan pembelaan di media susulan tangkapan semalam.

“Orang ramai sentiasa meminta SPRM bertindak profesional dalam semua isu, namun seperti kes di Selangor semalam dan kes di Pulau Pinang, kita baru siasat tetapi mereka (pembangkang) sudah membuat ‘pembelaan’ di media.

“Berilah peluang SPRM siasat. Jika kita ada keterangan mencukupi, sudah pasti kita akan cadangkan untuk dakwaan, namun jika sebaliknya, kita tidak teruskan tindakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kembara Jelajah Antirasuah di Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Semalam, SPRM menahan tiga individu iaitu setiausaha politik, pembantu peribadi dan kerani kepada seorang Ahli Parlimen dari Selangor atas dakwaan rasuah.

Dzulkifli berkata, SPRM tidak bersikap ‘pilih bulu’ dalam tindakan diambil selama ini, malah ahli politik dalam kalangan pihak kerajaan tidak terkecuali disiasat pihaknya.

“Jika ada pihak mendakwa SPRM bertindak memilih bulu, kita perlu ingat bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, seorang EXCO kerajaan negeri Johor dan pegawai kerajaan negeri di Melaka tidak terkecuali daripada disiasat berdasarkan maklumat diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif mewajibkan seluruh kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyertai Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH).

“Saya sendiri sudah mendaftar diri sebagai sahabat GERAH. Justeru, saya mewajibkan semua kakitangan awam, GLC dan JKKK di negeri ini untuk menyertainya bagi menunjukkan sokongan kepada SPRM.

“Saya akan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, memastikan perkara ini dapat dijalankan sebaiknya,” katanya

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *