Anda di sini!
Utama > Terkini > Sokong Pemimpin Sedia Ada Bukan Wujudkan Kumpulan Serpihan

Sokong Pemimpin Sedia Ada Bukan Wujudkan Kumpulan Serpihan

mh online

Anggota UMNO perlu mendukung kepimpinan sedia ada dan tidak mewujudkan kumpulan kecil jika mahu parti itu terus kekal kukuh, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan anggota UMNO yang cuba mewujudkan serpihan sokongan dan kumpulan kecil, kononnya untuk melontarkan pandangan berkaitan kepentingan parti, sebenarnya hanya melemah dan akan merosakkan parti itu.

“Kalau mahu parti kukuh, jangan ada serpihan dalam parti, supaya parti terus bersatu.

“Apa perlu mengadakan perjumpaan lain, di tempat lain, dengan kumpulan yang lain, dengan pemikiran yang lain dan pendirian yang lain,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Akhir Pidato Piala Presiden UMNO 2015, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh.

Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis “Bersama Timbalan Presiden UMNO” di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan anggota veteran parti Tan Sri Aziz Yassin.

Ahmad Zahid berkata: “Saya tidak mahu menyentuh sama ada orang itu masih hidup ataupun telah mati, tapi ingatlah ….tidak ada kumpulan di dalam UMNO, tidak ada kumpulan yang menyokong itu dan ini, kita semua adalah ahli UMNO,” katanya.

Beliau berkata setiap pemimpin UMNO pastinya menerima pelbagai ujian dan anggota parti perlu menilai bagaimana pemimpin berkenaan beristiqamah, konsisten dan mempunyai daya tahan dalam menghadapi setiap ujian.

“Sebab tidak ada pemimpin hebat yang tidak diuji. Kita memberikan dukungan kepada pemimpin terdahulu yang teruji…pemimpin tidak sehebat mana, yang menghebatkan pemimpin-pemimpin itu adalah kita yang di bawah, kita yang di akar umbi,” katanya.

Katanya, pemimpin parti hari ini menghadapi cabaran yang lebih getir berbanding pemimpin sebelum ini kerana zaman ini lebih mencabar.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Alumni Peserta Pidato Piala Presiden UMNO yang terdiri daripada peserta-peserta pertandingan itu.

Beliau berkata, kira-kira 2,500 alumni pertandingan itu akan dikumpulkan dan diberikan ilmu pengetahuan bagi meningkatkan ketrampilan diri dan mampu menjadi aset parti.

“Kita mahu melihat semua peserta pidato apabila mereka menjadi alumni mereka menjadi pemidato efektif yang mampu bergerak sebagai jentera dan memenangi lebih dua pertiga (kerusi) pada pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Seramai 15 finalis bertanding di peringkat akhir Pidato Piala Presiden UMNO 2015 yang berlangsung hari ini bagi merebut hadiah utama berupa wang tunai RM20,000 berserta piala iringan dan piala pusingan serta sijil.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top