Malindo Air memperluaskan perkhidmatan ‘Smarter Shuttle’ dari Subang ke tiga lagi destinasi, iaitu Alor Setar, Terengganu dan Kota Bharu secara percuma.

Ketua Pegawai Esekutif, Chandran Rama Muthy berkata, keputusan itu dibuat susulan kejayaan perkhidmatan penerbangan berkenaan ke Pulau Pinang dan Johor Baharu.

Beliau berkata, perkhidmatan tersebut bukan hanya satu keselesaan, malah kecekapan masa untuk penumpang memandangkan mereka boleh memaksimumkan atau meminimumkan tempoh di destinasi masing-masing mengikut jadual mereka.

“Ini menjadi kelebihan kepada pengembara percutian dan perniagaan, khususnya bagi destinasi tempatan, yang membolehkan mereka mengambil penerbangan tersedia mengikut pilihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai unjuran Malindo Air pada 2017, Chandran berkata ia akan menjadi tahun yang lebih cerah, dengan beberapa usaha dan jangkaan pembangunan yang sedang dirancang di habnya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu menjangkakan jumlah penumpangnya meningkat 25 peratus kepada 1.7 juta tahun ini.

Sasaran tersebut diletakkan setelah mengambil kira rasionalisasi pasaran dan pelan perluasan serentak Malindo Air yang termasuk penerimaan dua lagi pesawat dan pada masa sama mengekalkan faktor muatan purata 75 peratus, katanya.

Seiring dengan pertumbuhan pesat Malindo Air, beliau berkata, syarikat itu memperkenalkan Tambang Warga Emas Malindo, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas akan layak mendapat potongan 20 peratus daripada tambang asal.

Pembelian boleh dibuat di Pejabat Jualan Tiket Lapangan Terbang dan outlet Jualan Malindo yang sah.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *