Anda di sini!
Utama > Belia > SL1M Bantu Graduan Tingkat Tahap Keboleh Pasaran

SL1M Bantu Graduan Tingkat Tahap Keboleh Pasaran

mh online

Program Latihan 1Malaysia (SL1M) akan terus membantu graduan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka mendapatkan pekerjaan dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, menerusi SL1M, graduan diberi peluang merasai sendiri pengalaman dunia pekerjaan sebenar bersama syarikat selain dilatih untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran insaniah sebagai persediaan memasuki pasaran kerjaya.

“Program SL1M merupakan program intervensi kerajaan yang diwujudkan dalam usaha menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan Malaysia.

“Ia merangkumi kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis graduasi peserta SL1M Perlis serta penghargaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat menawarkan pekerjaan kepada peserta SL1M di Majlis Penghargaan dan Minum Petang Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Cawangan Kedah Perlis 2016 di Pauh Inn di sini, Selasa.

Turut hadir Pengerusi FMM Kedah/Perlis, Datuk Dr Haminnuddin Abd Hamid.

Terdahulu, Haminnuddin berkata, program SL1M di Zon Utara yang membabitkan penyertaan 122 syarikat adalah bertujuan untuk membantu para graduan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

“Kami bertanggungjawab membentuk graduan supaya dapat memenuhi kehendak majikan agar mempunyai sikap yang positif serta bersifat serba boleh.

“Berdasarkan keperluan ini, pendidikan kemahiran tertentu dalam membentuk pelajar yang berketerampilan dan berkebolehan adalah penting di samping kemahiran akademik yang dikuasai,” katanya.

Menurutnya, NCIA bekerjasama dengan FMM Kedah/Perlis untuk melaksanakan SL1M di Perlis dan tujuh buah syarikat berskala sederhana telah menyertai program tersebut.

Beliau berkata setakat ini SL1M telah membantu lebih 50,000 graduan menjalani program latihan di syarikat swasta di seluruh Malaysia sebelum mereka menempuh alam pekerjaan sebenar.

Leave a Reply

Top