Anda di sini!
Utama > Sukan > Skuad Projek Sukan Sea Benam Filipina B-22 Dalam Aksi Persahabatan

Skuad Projek Sukan Sea Benam Filipina B-22 Dalam Aksi Persahabatan

Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara menampilkan aksi bergaya apabila menewaskan pasukan B-22 Filipina 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, Rabu malam.

Skuad muda negara mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa pertama dengan gol pembukaan menerusi Muhammad Arif Farhan Md Isa pada minit ke-18 ekoran kesilapan pertahanan lawan.

Skuad negara yang dibimbing Frank Bernhardt tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol kedua menerusi S. Kumaahran pada minit ke-29 selepas menerima hantaran Nur Syamie Iszuan Amin.

Perlawanan itu juga menyaksikan pemain negara Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin pada minit ke-40 kerana mengasari pemain lawan.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus mempamerkan aksi garang dengan menggandakan serangan ke arah kubu lawan.

N. Thanabalan menambah duka pasukan lawan apabila menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-64.

Pasukan Filipina berjaya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti John Christoper Kanayama pada minit ke-72, selepas terjahan keras dilakukan pemain negara ke atas pemain lawan.

Selang tiga minit kemudian, skuad muda negara yang juga Skuad Projek Sukan SEA 2017, berjaya menambah jaringan menerusi Mohamad Farhan Roslan menjadikan kedudukan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Leave a Reply

Top