Anda di sini!
Utama > Belia > Skuad Penerangan Anak Muda Perjelas Isu Semasa

Skuad Penerangan Anak Muda Perjelas Isu Semasa

Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melancarkan Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) untuk memberi penjelasan dan berdialog dengan generasi muda berhubung isu-isu semasa.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar berkata anggota skuad itu terdiri daripada pemidato, penyampai risalah, penceramah agama dan pengendali media sosial yang akan bergerak di peringkat negeri dan bahagian.

“SPAM ini mereka boleh bergerak di kedai kopi, boleh berada di gelanggang futsal, di padang bola, ada di acara-acara anak muda berkumpul dan sebagainya, hanya membawa alatan mudah seperti pembesar suara, mereka boleh bercakap berkenaan isu-isu semasa malahan boleh berdialog dengan anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertandingan pidato generasi muda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada sabtu.

Beliau berkata berdasarkan statistik, terdapat kira-kira enam juta pengundi berusia di bawah 40 tahun dengan lima juta daripadanya berkemungkinan pengundi atas pagar yang perlu didekati.

Jamawi berkata kebanyakan daripada pengundi muda itu juga kali pertama mengundi dalam pilihan raya dan memerlukan penjelasan yang sebenar-benarnya mengenai sebarang isu berbangkit bagi mengelak membuat pilihan tidak tepat.

“Kalau daripada enam juta ini kami dapat jumpa empat juta orang, kami yakin dapat memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata juara pertandingan pidato berkenaan bakal membawa pulang wang tunai RM5,000; naib juara (RM3,000); ketiga (RM2,000) dan tempat keempat (RM1,000) yang dijadual disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa ini.

Pertandingan itu disertai 30 peserta dari seluruh negara termasuk wakil Kelab UMNO luar negara bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu dalam berpidato menjurus ke arah Pilihan Raya Umum ke-14.

Leave a Reply

Top