Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Sistem E-Call Akan Dilaksana Tahun Ini

Sistem E-Call Akan Dilaksana Tahun Ini

PUTRAJAYA, Projek rintis sistem eCall yang menghantar isyarat kecemasan  daripada kenderaan terlibat kemalangan serius bagi mempercepatkan bantuan, akan dilaksanakan tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata projek rintis itu akan melibatkan pemasangan sistem tersebut pada kenderaan baharu dengan beberapa pengeluar telah memberi respons positif, bagi meneliti keberkesanannya.

“Apabila kemalangan berlaku, tempoh respons untuk bantuan kecemasan penting bagi menyelamatkan nyawa tepat pada masanya,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum kerjasama di antara Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

TM akan menyediakan prasarana komunikasi, membangun dan mengurus Pusat Panggilan Kecemasan  bagi eCall Malaysia manakala MIROS akan memastikan kelancaran pelaksanaan dengan membantu dalam pembangunan standard, polisi dan dasar berkaitan eCall di negara ini.

Menerusi sistem itu, kenderaan yang dilengkapi eCall akan menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999 yang kemudian akan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan untuk bantuan.

Mengulas lanjut, Liow berkata Miros akan mengkaji keberkesanan eCall sebelum menggalakkan pemasangan secara sukarela.

Beliau berharap pelaksanaan sistem itu dapat membantu kerajaan mengurangkan 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2020.

Turut hadir pada majlis itu ialah  Pengerusi Miros  Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi TM Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Penanggung Ketua Pengarah MIROS Dr Siti Zaharah Ishak serta Timbalan Ketua  Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Mohd Ali Mohammad Nor.

Leave a Reply

Top