Anda di sini!
Utama > Hiburan > ‘Shahadah’ Juara Anugerah Nasyid 2017

‘Shahadah’ Juara Anugerah Nasyid 2017

Lagu nasyid ‘Syahadah’ nyanyian Fadzli Fareast muncul juara selepas menewaskan sembilan lagu lain dalam Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini Sabtu malam.

Persembahan bertenaga di hadapan kira-kira 5,000 penonton juga membolehkan beliau membolot kemenangan bagi kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik pada malam gilang-gemilang itu serta membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM10,000, kepingan emas bernilai RM15,000 dan sijil penghargaan.

Tempat kedua menjadi milik penyanyi Lah Ahmad yang membawa lagu ‘Salam´, dengan kemenangan itu beliau membawa pulang sebuah trofi, wang tunai berjumlah RM8,000, kepingan emas bernilai RM13,000 dan sijil penghargaan.

Bekas juara AN14 Daqmie pula menduduki tempat ketiga dengan lagu ‘Jalan Syahadah´ dan membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM5,000, kepingan emas bernilai RM6,000 serta sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

AN17 merupakan pertandingan lagu bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan yang dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama TV Al-Hijrah, bertujuan mengiktiraf penggiat seni dan individu yang berdakwah melalui muzik nasyid.

Sementara itu, Fadzli yang ditemui selepas acara berkenaan berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada juri kerana dipilih sebagai juara AN17.

“Kemenangan ini sedikit sebanyak menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berkarya bagi memperjuangkan dan memeriahkan industri muzik nasyid Malaysia,” katanya.

Katanya beliau kini sedang aktif merakamkan album pertamanya yang turut memuatkan tujuh lagu berbahasa Hindi ciptaan seorang cikgu tempatan berbangsa India serta sarat dengan lagu ketuhanan yang bakal memberi aura positif terhadap pendengar.

Leave a Reply

Top