KOTA KINABALU, Selepas lebih dua minggu penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah dibongkar, bekas menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata penahanan Mohd Shafie, 60, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dibuat jam 9 malam.

Beliau ditahan selepas dipanggil ke pejabat SPRM Sabah, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan terbabit petang tadi.

Mohd Shafie tiba di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah itu kira-kira jam 5.15 petang.

Ahli Parlimen Semporna itu diiringi isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, ahli keluarga serta beberapa pemimpin Warisan.

Keterangan Mohd Shafie diperlukan kerana penyelewengan dalam agihan projek luar bandar di Sabah itu, dikesan berlaku antara tahun 2009 hingga 2015, ketika beliau mengetuai KKLW.

Susulan penahanannya, SPRM dijangka mengemukakan Mohd Shafie kepada Majistret Kota Kinabalu esok, bagi mendapatkan perintah tahanan reman sebelum meneruskan siasatan terhadapnya.

Keterangan Mohd Shafie diperlukan bagi membantu siasatan selepas beberapa individu yang ditahan sebelum ini yang sebahagiannya dipercayai ‘orang tengah’ menguruskan projek tertentu di KKLW dengan syarikat kontraktor di Sabah.

Mohd Shafie yang memakai kemeja putih sebelum naik ke pejabat SPRM, sempat melambai kepada penyokong dan sekumpulan petugas media yang menunggu sejak jam 3 petang.

Terdahulu, ketika ditemui media di rumahnya dekat Bundusan, Penampang, Mohd Shafie berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan yang berjalan itu.

“Kita sedia bantu. Saya sanggup datang dari Kuala Lumpur apabila mereka (SPRM) panggil untuk beri keterangan. Ia proses undang-undang yang perlu kita patuhi.

“Saya tahu mereka (SPRM) buat kerja. Kita bagi kerjasama untuk siasat secara baik. Sebagai rakyat kita kena patuh kepada undang-undang,” katanya.

Sebelum itu, kira-kira 200 penyokong Warisan berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menunggu ketibaan beliau dari Kuala Lumpur.

Sebelum ini media melaporkan, 350 projek KKLW membabitkan 170 projek bekalan air, jalan raya (163 projek) dan bekalan elektrik (17) di sembilan daerah di Sabah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM7.5 bilion dipantau SPRM.

Satu daripada projek yang dikenal pasti ialah pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Sungai Intan, Semporna yang tidak dapat berfungsi disebabkan sungai cetek yang mengakibatkan sumber air tidak mencukupi.

Lebih 50 individu dipanggil memberi kenyataan kepada SPRM sejak kes itu dibongkar, awal bulan ini.

Sebelum ini, 10 individu ditahan SPRM berhubung kes berkenaan termasuk dua adik Mohd Shafie, iaitu ahli perniagaan Hamid Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.

Antara yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman selain Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim serta terbaharu petang tadi iaitu jurutera awam berusia 47 tahun.

Mereka bersama tiga lagi individu disiasat berkaitan kes penyelewengan dana awam projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi KKLW di Sabah antara 2009 hingga 2015.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *